• Entri Terkini

    Tuesday, February 23, 2016

    Lima Tokan Dadah Paling Dikehendaki Berjaya Diberkas

    Sebahagian barangan yang dirampas dalam serbuan itu.

    SABAK BERNAM - Lima tokan dadah yang amat dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sungai Besar dan Sekinchan tumpas apabila mereka diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa, di sini, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi itu, kelima-lima lelaki tempatan itu dicekup dalam satu serbuan yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asistan Superintendan, Ramly Raaf bersama empat anggotanya.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, serbuan dilakukan hasil intipan dan risikan serta maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di rumah yang disewa mereka sejak kira-kira sebulan lalu.

    "Semasa serbuan dijalankan di rumah itu, kelima-lima mereka sedang beristirehat di rumah terbabit. Hasil pemeriksaan polis di dalam rumah itu menjumpai tiga paket lutsinar yang disyaki dadah jenis syabu," katanya.

    Nor Azmi berkata, kesemua dadah yang dirampas itu seberat 56.22 gram dengan nilai anggaran RM5, 000.

    "Suspek disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran dan penjualan dadah sejak Disember tahun lalu.

    "Suspek dipercayai menjual dadah jenis syabu RM100 bagi setiap gram dadah yang dibawa masuk di kawasan berhampiran sebelum diedar di dua lubuk berkenaan," katanya.

    Beliau berkata, hasil Ujian Air Kencing (Urin) yang dijalankan di IPD Sabak Bernam mendapati kesemua mereka yang ditahan itu positif syabu.

    Katanya, kejayaan polis menahan lima suspek itu berjaya mengekang kegiatan penagihan dan pengedaran di dua lokasi itu sambil menegaskan polis dari masa ke semasa giat menjalankan beberapa serbuan di lokasi terbabit.

    "Semua suspek yang ditahan juga didapati mempunyai rekod lampau kes dadah di Hutan Melintang, Perak sebelum ini," katanya.

    Menurut Nor Azmi, kelima-lima suspek kini ditahan reman selama 14 hari dari tarikh tangkapan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    -Sinar Harian
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lima Tokan Dadah Paling Dikehendaki Berjaya Diberkas Rating: 5 Reviewed By: Izham Amir
    Scroll to Top