• Entri Terkini

    Tuesday, February 23, 2016

    Sembilan Exco Kedah Angkat Sumpah

    ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah di Istana Anak Bukit

    ALOR SETAR, 22 Feb (Bernama) -- Sembilan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah pentadbiran bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

    Bagaimanapun, Mukhriz yang juga ADUN Ayer Hitam tidak menghadiri majlis tersebut.

    Exco yang kekal dan mendahului senarai mengangkat sumpah itu ialah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Cempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman, ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, ADUN Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain dan ADUN Kuala Nerang Datuk Badrul Hisham Hashim.

    Turut mengangkat sumpah ADUN Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, ADUN Belantik Datuk Mohd Tajudin Abdullah, ADUN Bandar Baharu Datuk Noorsabrina Mohd Noor, ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar dan ADUN Gurun Datuk Dr Leong Yong Kong.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut hadir pada majlis itu akan mengumumkan portfolio barisan Exconya itu dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Darulaman sebaik selesai majlis angkat sumpah itu.

    Majlis angkat sumpah yang berlangsung kira-kira pukul 10 pagi itu turut dihadiri Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim dan Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Alhmarhum Sultan Badlishah.

    Sebelum ini, Ku Abdul Rahman adalah Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Suraya (Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan, Kebajikan Masyarakat), Tajul Urus (Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan).

    Badrul Hisham (Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan Bukan Kerajaan), Mohd Rawi (Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya), Mohd Tajudin (Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan).

    Noorsabrina pula ialah bekas Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Maklumat, Aminuddin (Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan) dan Dr Leong (Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan dan Perpaduan).

    Pelantikan barisan Exco itu mengakhiri krisis politik Kedah sejak 20 Jan lepas apabila majoriti ADUN dan anggota Parlimen UMNO Kedah serta beberapa pemimpin kanan UMNO negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

    Mukhriz meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada 3 Feb lepas setelah hilang sokongan majoriti ADUN Kedah yang digantikan Ahmad Bashah sehari selepas itu.



    -- BERNAMA
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sembilan Exco Kedah Angkat Sumpah Rating: 5 Reviewed By: Izham Amir
    Scroll to Top