• Entri Terkini

    Thursday, February 25, 2016

    Tapis Maklumat Sebelum Sebar


    SUNGAI BESAR – Rakyat khususnya golongan muda diingatkan supaya tidak mempercayai sepenuhnya maklumat yang diperoleh melalui media sosial kerana sesetengah berita yang disebarkan itu tidak tepat dan berunsur fitnah.

    Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon berkata, setiap maklumat yang diterima dari media sosial seperti Facebook dan blog serta aplikasi WhatsApp, WeChat serta Telegram hendaklah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu.

    Bagaimanapun, ujar beliau, terdapat sesetengah pengendali media sosial lebih gemar menyebar maklumat sensasi yang hanya membuka aib seseorang berbanding mementingkan kualiti berita yang diperoleh.

    “Kadang-kadang yang sensasi dibaca dulu, tapisnya kemudian. Bila dah baca sebar pula aib seseorang itu kepada pihak lain. Sepatutnya kita baca dan tapis dulu sama ada benar atau pun tidak, kalau tak sahih jangan sebarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Damai Rasidin Villa dan Penubuhan Kelab Media dan Perhubungan Awam Sabak Bernam (MEDIPROSB) serta BBQ di Damai Rasidin Villa, di sini.

    MEDIPROSB yang mengadakan mesyuarat jawatankuasa penaja pada 16 Disember tahun lalu sebulat suara menyatakan hasrat menubuhkan kelab yang dianggotai pengamal media, pegawai perhubungan awam dan wakil dari setiap Parlimen dan Dun di Sabak Bernam dan Sungai Besar.

    Selain Noriah, penubuhan MEDIPROSB juga berjaya menghimpunkan tiga lagi wakil rakyat di daerah Sabak Bernam pada majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik.

    Dalam pada itu, Noriah yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, penubuhan inap desa terutama di kawasan luar bandar dilihat dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di sesebuah kawasan itu, apatah lagi Sungai Besar semakin dikenali sebagai salah satu destinasi membeli-belah yang semakin popular.

    “Ada satu ketika dulu, kita berduyun-duyun pergi ke Nilai cari kain, baju dan alat kelengkapan perkahwinan di sana. Tapi, sejak belakangan ini kita dapati Sungai Besar semakin dapat tumpuan apabila terdapat banyak bas bawa pelancong singgah ke sini seperti mana di Nilai.

    “Di sini, banyak yang boleh dilawati sebab kita ada kebun, sawah dan laut. Kita memang terkenal dengan produk buah-buahan dan ikan segar. Terdapat ramai pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ibarat cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.

    Beliau berkata, pengusaha inap desa perlu merebut peluang itu dengan menawarkan pakej harga yang menarik dan berpatutan bagi menarik pengunjung dan pelancong untuk merasai sendiri suasana desa. - Sinar Harian
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tapis Maklumat Sebelum Sebar Rating: 5 Reviewed By: Izham Amir
    Scroll to Top