• Entri Terkini

    Monday, March 07, 2016

    Insentif Pengeluaran Getah Bantu Ringan Beban Pekebun Kecil

    KETIDAKSTABILAN harga getah asli menyebabkan ramai dalam kalangan pekebun kecil yang bergantung kepada penjualan getah semata-mata mengeluh kerana kekurangan pendapatan.

    Ketidakstabilan harga pasaran antarabangsa bagi tanaman komoditi tidak dapat dielakkan dan ia sebenarnya bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan di pasaran. Beberapa inisiatif telah dilakukan Lembaga Getah Malaysia bagi membantu pekebun kecil getah disebabkan oleh kejatuhan harga getah di samping terus menggalakkan pengeluaran getah negara.

    Penjelasan lanjut Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, DATUK DR MOHD AKBAR MD SAID.

    Boleh Datuk terangkan apa itu Insentif Pengeluaran Getah (IPG)?

    Insentif Pengeluaran Getah (IPG) inisiatif dan bukan subsidi dalam bentuk bayaran yang diberi kepada pekebun kecil getah ke atas setiap kilogram getah dijual. Insentif ini bertujuan meringankan beban pekebun kecil di seluruh negara kesan kejatuhan harga getah di samping memberi galakan kepada mereka terus menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran.

    Pada Bajet 2015, IPG diaktifkan apabila harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 Free on Board (FOB) (SMR 20 FOB) berada pada paras RM4.60 sekilogram dan ke bawah.

    Pelaksanaan melibatkan insentif pengeluaran iaitu 30 sen sekilogram getah sekerap (cuplumps) 50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK), maksima 90 sen sekilogram lateks berdasarkan peratusan KGK dan maksima 60 sen bagi setiap kilogram getah Unsmoked Sheet (USS) berdasarkan peratusan peratus KGK.

    Berdasarkan maklum balas diterima semasa taklimat kepada ahli parlimen, pekebun kecil dan agensi pelaksana, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mencadangkan supaya Paras Harga Pengiktirafan IPG ditingkatkan daripada harga SMR 20 FOB pada paras RM4.60 sekilogram kepada RM5.10 sekilogram atau cuplums di peringkat ladang RM2 sekilogram dan ke bawah ikut wilayah.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan prihatin maslah dan kebajikan pekebun. Dengan itu, semasa pembentangan Bajet 2016, beliau umum paras harga pengiktirafan IPG dinaikkan ke paras harga SMR 20 FOB, RM5.50 sekilogram atau harga cuplumps pada paras RM2.20 sekilogram mulai Januari 2016.

    Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak nampak apa tujuan kita perkenalkan inisiatif ini. Sebenarnya ia bertujuan untuk menjamin harga getah di peringkat ladang supaya harga tidak jatuh daripada harga pengaktifan.

    Apakah objektif pelaksanaan dan impak kepada pekebun kecil dan industri getah?
    Pelaksanaan ini bagi memastikan pendapatan pekebun kecil tidak jatuh di bawah paras garis kemiskinan ketika harga getah rendah. Pekebun kecil akan terus menoreh dan daripada pemerhatian kita, sebahagian penoreh getah di negara ini akan meninggalkan kebun getah mereka dan melakukan aktiviti ekonomi lain yang memberi pendapatan lebih lumayan semasa harga getah turun ke paras rendah.

    Ia juga bagi menentukan paras pengeluaran tidak kurang daripada 700,000 tan setahun untuk keperluan industri hiliran. Import bahan mentah dapat dikurangkan sekiranya pengeluaran dalam negara dapat dikekalkan.

    Sebagai makluman, pada 2014, Malaysia mengimport 905,039 tan getah asli bernilai RM5.83 bilion bagi menampung keperluan industri hiliran terutamanya bagi sektor sarung tangan getah. Kalau pekebun kecil terus menerus tidak menoreh berdasarkan salah anggap dengan harga getah ini, maka negara akan terus menerus import getah dengan banyak untuk menampung keperluan sektor hiliran.

    Sumbangan industri getah kepada Pendapatan Negara Kasar terus ditingkatkan. Sumbangan KDNK sektor ini pada 2014 RM 30.61 bilion. Sektor getah juga menyumbang kepada RM23.6 bilion nilai eksport.

    Saya ingin ulang semula IPG bukan subsidi, tetapi ia insentif untuk membolehkan pekebun kecil mengeluarkan getah asli yang diperlukan dengan jaminan kerajaan pada harga ladang dan buat masa sekarang harganya adalah RM2.20 sekilogram.

    Adakah IPG ini diterangkan kepada pekebun kecil getah?

    Semestinya ia diterangkan kepada bukan sahaja pekebun kecil, tetapi agensi kerajaan lain yang terlibat dengan getah dan mereka yang berpengaruh dengan industri getah. Walau bagaimanapun, di peringkat awal, kita tidak dapat berjumpa dengan semua pekebun kecil dan berdasarkan statistik kita, kita hanya dapat berurusan dengan 230,000 pekebun kecil sahaja di mana mereka diberi kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

    Walaupun ada beberapa kawasan seperti Sarawak yang mempunyai masalah logistik kita terus membantu dengan memperkenalkan kad sementara sebelum mendapat kad PAT-G.

    Siapa layak menuntut IPG?

    Mereka yang layak menuntut IPG adalah pekebun kecil getah warganegara Malaysia, berdaftar dengan LGM atau Lembaga Industri Getah Sabah atau Jabatan Pertanian Sarawak atau Agensi seperti Felda, Felcra, Risda dan memiliki kad (PAT-G).

    Selain itu, IPG ini layak diterima mereka yang mempunyai kebun bawah 100 ekar, menjual getah dalam bentuk lateks atau getah beku (ketulan atau kepingan) dan kemukakan dokumen berkaitan seperti borang tuntutan IPG, resit jualan getah bulan dan salinan Permit Autoriti Transaksi Getah atau PAT-G.

    Purata untuk Februari telah kita kira dan maklumkan berapa perbezaan harga untuk dibayar kepada pekebun kecil. Jadi kita memberi masa selama sebulan untuk pekebun kecil buat tuntutan dengan kita. Biasanya lau sampai kepada Lembaga Getah Malaysia ia akan diproses dalam masa 14 hari dan duit telah masuk ke dalam akaun mereka.

    Pemberian IPG ini berdasarkan resit jualan dan perlu diserah kepada Lembaga Getah Malaysia. Sebagai contoh hujung bulan Februari iaitu 29 hari bulan Lembaga Getah memaklumkan pengaktifan harga kepada agensi dan dalam masa saya kami bergerak untuk dapatkan resit daripada peniaga untuk diproses dan dibayar melalui akaun bank. Jadi mereka perlu ada akaun bank.

    Boleh terangkan mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G)

    Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan dan Permit) 2014 telah mewajibkan semua pekebun kecil yang menjual getah memiliki permit. Permit ini dinamakan Permit Autotriti Transaksi Getah. Permit ini dikeluarkan di dalam bentuk kad dan diberikan secara percuma.

    Adalah menjadi satu kesalahan mana-mana pekebun kecil menjual getah tanpa memiliki kad PAT-G. Pekebun kecil bermaksud memiliki kebun getah kurang daripada 40.47 hektar (100 ekar).

    Boleh Datuk berikan sedikit maklumat mengenai senario harga getah asli?

    Harga getah dipengaruhi beberapa faktor penawaran dan permintaan, kadar pertumbuhan ekonomi dunia khususnya negara pengguna getah utama. Pada ketika ini, pertumbuhan ekonomi negara pengimport utama seperti China, Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah adalah perlahan dan ini menyumbang kepada kelembapan permintaan getah global.

    Di samping itu, kejatuhan harga getah pada masa kini turut disebabkan peningkatan bekalan getah asli dunia akibat dari pembukaan kawasan baharu oleh negara-negara pengeluar utama getah asli seperti Thailand, Vietnam, China, Indonesia dan Kemboja sejak pertengahan 2000.

    Bagaimana prospek pasaran 2016?

    Prospek pasaran bagi tahun ini lebih stabil dan akan berlaku penambahbaikan dari segi SMR 20 yang ketika di bawah paras RM5. Pada 2016, prestasi industri getah yang ditunjukkan oleh sumbangan eksport dijangkakan meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding 2015 kepada RM34.24 bilion.

    Peningkatan ini didorong pertambahan permintaan getah dua negara pengguna utama getah dunia iaitu Cina dan Amerika Syarikat.

    Bagaimana pula pengeluaran getah asli?


    Sehingga November 2015, pengeluaran getah asli negara 700,000 tan dan dijangka pengeluaran getah bagi 2016 akan berada paras 700,00 tan hingga 800,000 tan.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Insentif Pengeluaran Getah Bantu Ringan Beban Pekebun Kecil Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top