• Entri Terkini

    Saturday, March 19, 2016

    Isu Penjualan Beberapa Lot Tanah Untuk Rakyat Termiskin, Lim Guan Eng Terlibat?

    Penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang dan soalan berkaitan derma ke dalam akuan peribadi Perdana Menteri dari keluarga Arab Saudi RM2.6 bilion adalah antara beberapa isu menarik yang hangat dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat minggu ini.

    Penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang itu didedahkan oleh seorang anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa tanah itu dijual secara tender bagi pembinaan hospital swasta dan hotel, selain mendakwa ada sumber yang menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam penjualan tanah itu.

    Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berkenaan.

    Dalam pada itu, Shabudin juga mahu Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta menjelaskan sama ada penilaian semula telah dibuat dan turut meminta SPRM menyatakan laporan status kes pembelian hartanah oleh Lim di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang dengan nilai yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

    Sementara itu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa kerajaan tidak lagi akan menjawab soalan berhubung isu melibatkan dana RM2.6 bilion di Dewan Rakyat disebabkan ia tertakluk kepada proses yang sedang berlangsung di mahkamah, menimbulkan pelbagai reaksi.

    Azalina berkata perkara berkenaan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 23 (1) (g) yang mana ia adalah sub judice sekiranya dibincangkan dalam mana-mana forum.

    Kenyataan Azalina itu dipertikai beberapa pihak yang mendakwa ia bukan di bawah kapasiti beliau untuk membuat keputusan sedemikian, sebaliknya Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang selayaknya mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

    Azalina bagaimanapun menjelaskan kenyataan itu dibuat atas kapasiti beliau sebagai menteri yang menjawab isu-isu berkaitan Pejabat Perdana Menteri.

    Selain itu, isu melibatkan Lembaga Tabung Haji juga mendapat perhatian apabila Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa pendeposit Tabung Haji yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun.

    Dalam pada itu, Dewan Rakyat juga diberitahu kerajaan tidak bercadang membubarkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) buat masa ini kerana syarikat itu merupakan projek jangka panjang untuk mengambil peluang ke atas pelaburan dan kepakaran antarabangsa bagi melabur dalam projek yang mempunyai nilai pengganda tinggi serta berinovasi.

    Turut menjadi perhatian isu keselamatan apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Malaysia tidak pernah terlibat dalam kerjasama ketenteraan untuk memerangi kumpulan ekstremis di Yemen dan Syria yang dipimpin Arab Saudi.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Isu Penjualan Beberapa Lot Tanah Untuk Rakyat Termiskin, Lim Guan Eng Terlibat? Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top