• Entri Terkini

    Wednesday, March 30, 2016

    Kenapa Harga Urus Niaga Jual Beli Getah Negara Berbeza Antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak - YB Dato' Hajjah Noriah Kasnon

    Yb Dato' Hajjah Noriah Kasnon menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu berhubung perbezaan harga yang ketara bagi kelapa sawit dan getah di antara negeri di Malaysia.

    SOALAN :

    Tuan Wong Sze Phin @ Jimmy [ Kota Kinabalu ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan harga dan sebab perbezaan harga yang ketara bagi kelapa sawit dan getah di antara negeri di Malaysia dan di antara negara di Asia Tenggara. Apakah langkah Kerajaan dalam membantu sektor kelapa sawit dan getah yang mengalami kemerosotan harga.

    JAWAPAN:

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Terlebih dahulu, saya memohon menjawab soalan ini bersekali dengan soalan-soalan daripada YB Lipis bertarikh 4 April 2016 dan YB Sepanggar bertarikh 5 April 2016 kerana menyentuh isu yang sama.

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, harga urus niaga jual beli getah di dalam negara berbeza di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak berdasarkan kepada beberapa faktor. Ini termasuk:

    (i) Kadar diskaun atau kos pemprosesan yang ditolak dari harga pembelian di peringkat ladang oleh kilang-kilang;

    (ii) Kandungan Getah Kering (KGK) dan kualiti getah; dan

    (iii) Jarak di antara kilang dan peniaga getah, iaitu semakin jauh jarak, semakin tinggi kos pengangkutan. Ini juga ditolak dari harga pembelian di peringkat ladang.

    Faktor-faktor tersebut juga terpakai bagi perbandingan harga pembelian di lain-lain negara di Asia Tenggara.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Kerajaan amat prihatin tentang isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pendapatan lebih 300,000 orang pekebun kecil getah di seluruh negara. Sebagai langkah bagi menjaga kebajikan para pekebun kecil getah, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:

    (i) Menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mulai Januari 2015 dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta. Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG telah ditambahbaik dan dinaikkan dari harga SMR20 RM5.10 sekilogram kepada RM5.50 sekilogram dan bagi cuplump dari RM2.00 kepada RM2.20 sekilogram mulai 2016;

    (ii) Menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta sebagai modal pusingan kepada koperasi untuk terlibat di dalam aktiviti urusniaga getah. Ini di samping mengurangkan lapisan pembeli akan dapat meningkatkan harga pembelian getah di peringkat ladang. Berdasarkan maklum balas, sehingga kini sebanyak 18 koperasi sedang terlibat dalam urusniaga getah;

    (iii) Menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi penyediaan infrastruktur kutipan lateks dalam menggalakkan para pekebun kecil meningkatkan pengeluaran lateks. Peruntukan ini akan digunakan untuk memperkukuhan infrastruktur kutipan lateks; dan

    (iv) Menyediakan geran insentif tanam semula pokok-pokok getah yang tua dengan benih klon getah yang berkualiti tinggi kepada pekebun kecil. Di bawah program ini, geran tanam semula sebanyak RM9,230 sehektar disediakan kepada pekebun kecil di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak masing-masing pada kadar RM14,000 sehektar dan RM13,500 sehektar.

    Tuan Yang Di Pertua,

    Selain daripada langkah-langkah tersebut, bagi menjawab pertanyaan YB Lipis dan YB Sepanggar, Kementerian menyediakan strategi jangka masa panjang bagi menstabilkan harga getah seperti berikut:

    i. Menggalakkan peningkatan penggunaan getah dalam negara sehingga 10% daripada jumlah pengeluaran getah asli negara;

    ii. Memperkukuhkan aktiviti-aktiviti penyelidikan pembangunan ke arah menghasilkan produk-produk baru dan nilai tambah berasaskan getah; dan

    iii. Bekerjasama dengan lain-lain negara pengeluar getah asli bagi menstabilkan harga getah seperti di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) dan Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC).

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Bagi sawit pula, perbezaan harga yang ketara di antara negeri-negeri di dalam negara dipengaruhi oleh kuasa pasaran di Wilayah Utara, Selatan, Tengah, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Perbezaan harga minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (Palm Kernel) di antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung berpunca daripada permintaan industri pemprosesan di ketiga-tiga wilayah tersebut.

    Selain itu, harga ini juga dipengaruhi oleh kos pengangkutan yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah pun melaksanakan beberapa strategi bagi mengukuhkan pembangunan industri sawit termasuk:

    (i) Pelaksanaan Program B7 bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara. Di bawah program ini, Kerajaan telah meningkatkan program adunan biobahan api sawit dari 5% kepada 7%; dan

    (ii) Pelaksanaan Skim Tanaman Semula 2015 (SITS) dengan dana sebanyak RM100 juta bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2015.

    Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah-langkah jangka panjang seperti berikut:

    (i) Mempertingkatkan aktiviti promosi minyak sawit dengan memperkukuhkan pasaran eksport sedia ada dan meninjau pasaran-pasaran baru; dan

    (ii) Meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk-produk baru untuk tujuan makanan dan bukan makanan.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    MPIC akan meneruskan usaha-usaha ke arah meningkatkan daya saing industri getah dan sawit negara dan memastikan pasaran eksport diperluaskan. Ini akan memperkukuhkan harga getah dan sawit bagi membantu para pengusaha tanaman komoditi ini khususnya pekebun kecil.

    Sekian, terima kasih
     


    YB Dato Noriah Kasnon, Timbalan Menteri MPIC sedang berbincang dengan pegawai-pegawai dari MPIC dan agensi sebelum menjawab soalan dari YB Kota Kinabalu mengenai harga dan sebab perbezaan harga yg ketara bagi kelapa sawit dan getah antara negeri di Malaysia dan Asia Tenggara di Dewan Rakyat pagi ini.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kenapa Harga Urus Niaga Jual Beli Getah Negara Berbeza Antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak - YB Dato' Hajjah Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top