• Entri Terkini

    Friday, March 25, 2016

    Mahathir Cuba 'Bunuh' BN - Shahrir

    Cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan mengadakan pungutan suara bagi membandingkan sokongan rakyat antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan ‘membunuh’ BN.

    Pengerusi Majlis Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, usaha Mahathir itu bertentangan dengan kenyataannya yang mahu mempertahankan Umno.

    “Kalau sebelum ini desakan beliau adalah secara berseorangan tetapi sekarang beliau (Mahathir) bersama pembangkang mendesak Najib melepaskan jawatan. Apa jaminan bahawa BN tidak akan terjejas?

    “Mahathir perlu tahu pembangkang sejak dari 2013 sehingga sekarang melalui Dewan Rakyat dan luar dewan begitu agresif mahu menukar parti memerintah,” katanya, semalam.

    Isnin lalu, Mahathir menerusi blognya mencadangkan kerajaan mengadakan satu pungutan suara bagi mengukur sokongan rakyat terhadap kepimpinan Najib atau menyokong pendirian beliau yang mendesak Najib melepaskan jawatan.

    Mahathir berkata, beliau akan berhenti mendesak Najib berundur sekiranya mendapat sokongan yang kurang daripada Najib.

    Dalam pada itu, Shahrir berkata, kesahihan sumber pungutan suara juga diragui kebenarannya.

    “Sebagai contoh, Bersih pernah ambil dan memaklumkan surat daripada pengundi berkaitan ketelusan pilihan raya dan saya lihat 30 peratus surat itu bukan daripada kawasan saya.

    “Mereka mendesak kita tetapi akhirnya kesahihan itu diragui,” katanya.

    Menurutnya, sebarang usaha menukar pemimpin perlulah melalui pilihan raya.

    “Pas sendiri tidak bersetuju dengan cara Mahathir desak Najib melepaskan jawatannya. Lihat sahaja Arab Spring, apa yang berlaku. Tidak ada kebaikannya sebaliknya keadaan negara itu lebih teruk dari sebelumnya,” katanya.

    Shahrir berkata, sebarang usaha untuk melemahkan parti tidak boleh dibenarkan.

    “Beliau (Mahathir) pernah melalui zaman kemarahan rakyat terhadap beliau. Tetapi pemimpin-pemimpin di bawahnya mempertahankan parti,” katanya.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mahathir Cuba 'Bunuh' BN - Shahrir Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top