• Entri Terkini

    Thursday, March 17, 2016

    Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) Yakin Kekalkan Momentum Pertumbuhan Kayu dan Produk Kayu Tahun Ini

    Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan kayu dan produk kayu tahun ini meskipun berdepan cabaran global, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Rahim Nik.

    Beliau berkata eksport kayu dan produk kayu Malaysia termasuk perabot kayu dan rotan, papan lapis dan kayu bergergaji, meningkat 6.5 peratus kepada RM22.1 bilion pada 2015 daripada RM20.5 bilion pada 2014.

    Bagi perabot sahaja, eksport meningkat 14 peratus kepada kira-kira RM9 bilion tahun lepas, katanya kepada pemberita di luar acara Seminar Pemasaran MTC yang bertemakan "Pembangunan Pasaran Semasa dan Prospek bagi Produk dan Perabot Kayu Malaysia di China, India, Eropah, Timur Tengah, Filipina dan Amerika Syarikat (AS)".

    Seminar itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk M. Nagarajan sebagai mewakili menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
    Abdul Rahim juga berkata prospek bagi industri agak positif tetapi ia lebih
    tertumpu kepada rantau ini.

    "Justeru, kita perlu memaklumkan kepada pemain industri mengenai peluang dan cabaran yang ada di pelbagai pasaran utama," katanya.
    Pemain industri Malaysia perlu mencari pasaran baharu selain meneroka peluang khusus dan mengembangkan perniagaan mereka dalam pasaran tradisional, katanya.

    "Kami kini menyasar India, yang mengimport perabot bernilai kira-kira RM1.89 bilion pada 2015 dan China yang juga mencatatkan pertumbuhan selain pasaran utama lain seperti AS, Jepun dan Australia.

    "Pertumbuhan dan kemajuan berterusan industri juga bergantung besar kepada keupayaannya untuk beralih daripada budaya berfikir berasaskan pembuatan ketika ini kepada yang lebih menumpukan kepada inovasi, menyediakan produk tokokan nilai tinggi kepada pasaran antarabangsa," katanya.
    Terdahulu, Uggah, dalam ucapan beliau berkata industri kayu menyumbang 18.5 peratus daripada jumlah pendapatan eksport dalam sektor komoditi dan 2.8 peratus daripada jumlah eksport barangan negara.

    "Walaupun berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, saya yakin industri perkayuan Malaysia akan berdaya tahan dan mampu mengekalkan prestasi pertumbuhan eksportnya," katanya dalam ucapan beliau yang dibacakan oleh Nagarajan.

    Namun begitu, Uggah berkata, sambil meneroka ke pasaran luar negara, pemain juga tidak harus mengabaikan permintaan kukuh dalam pasaran domestik.

    Industri perlu memanfaatkan platform e-dagang untuk mendapatkan pembeli berpotensi, dalam dan luar negara, dan menimbang menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, katanya.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) Yakin Kekalkan Momentum Pertumbuhan Kayu dan Produk Kayu Tahun Ini Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top