• Entri Terkini

    Tuesday, March 29, 2016

    Memperkasa Pertumbuhan Sektor Komoditi: Jawapan Di Parlimen Oleh YB Dato Hajjah Noriah

    Semalam Yb Dato' Hajjah Noriah Kasnon menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen PAS Kuala Nerus berhubung dengan langkah Kerajaan Persekutuan memperkasa pertumbuhan sektor komoditi.
     
    SOALAN : Ust. Datuk Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan cabaran-cabaran dan langkah-langkah yang diambil dalam usaha memperkasa pertumbuhan sektor komoditi di negara ini.

    JAWAPAN:

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sektor komoditi merupakan salah satu penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2015, eksport sektor komoditi merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan eksport negara dengan nilai sebanyak RM117.1 bilion.

    Cabaran utama sektor komoditi adalah memastikan pembangunannya adalah mengikut prinsip-prinsip kemampanan dan memandangkan pembangunan sektor komoditi sering kali dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar. Ini termasuk keperluan pensijilan kemampanan dan sumber yang sah bagi produk-produk seperti sawit dan kayu kayan.

    Cabaran-cabaran lain yang dihadapi oleh sektor komoditi termasuk:

    (i) meningkatkan produktiviti jangka panjang terutamanya bagi tanaman sawit, getah, koko dan lada. Ini adalah memandangkan kepada kekangan tanah yang sesuai untuk memperluaskan tanaman-tanaman tersebut di samping komitmen negara untuk mengekalkan kawasan liputan hutan melebihi 50%;

    (ii) meningkatkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi memperkukuhkan sektor hiliran. Ini termasuk penghasilan produk-produk baru dan nilai tambah yang inovatif dan memenuhi citarasa pasaran. Langkah ini akan membolehkan industri komoditi negara berdaya saing di pasaran global dan menangani cabaran dari lain-lain pengeluar baru dan kos yang lebih munasabah;

    (iii) mengurangkan kebergantungan industri komoditi kepada tenaga buruh terutamanya buruh asing. Di sektor perladangan sawit umpamanya, hampir 73.5% adalah daripada tenaga buruh asing; dan

    (iv) ketidakstabilan harga komoditi khususnya getah dan sawit yang mana seperti komoditi lain yang diperdagangkan di peringkat antarabangsa, bergantung kepada faktor-faktor seperti penawaran dan permintaan, pertumbuhan ekonomi global, pergolakan politik antarabangsa dan pergerakan matawang asing.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Kementerian akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkukuhkan pertumbuhan industri komoditi dengan mengambil kira bahawa hampir 40% daripada tanaman sawit adalah diusahakan oleh pekebun kecil manakala lebih 95% bagi komoditi-komoditi lain juga oleh pekebun kecil. Oleh yang demikian, sebarang perubahan dari segi permintaan dan harga mempunyai implikasi kepada pendapatan pekebun kecil di luar bandar.

    Langkah-langkah untuk memperkukuhkan pertumbuhan industri komoditi termasuk:

    (i) meningkatkan produktiviti dengan mengukuhkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam penghasilan bahan tanaman yang berkualiti;

    (ii) meningkatkan aktiviti mekanisasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh;

    (iii) meningkatkan penggunaan produk-produk komoditi dalam negara ke arah menghasilkan produk-produk nilai tambah dan mengurangkan stok dalam negara;

    (iv) merundingkan akses pasaran yang lebih baik di bawah Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas (FTA);

    (v) menganjurkan misi-misi teknikal dan promosi ke pasaran-pasaran sedia ada dan juga pasaran-pasaran baru termasuk kerjasama penyelidikan seperti yang pernah disebutkan dengan negara China dan India; dan

    (vi) memperluas dan memperkukuhkan aktiviti-aktiviti pensijilan kemampanan terutamanya bagi minyak sawit dan kayu kayan. Dalam kes minyak sawit, pensijilan di bawah Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) akan diperluaskan termasuk tanaman pekebun kecil dan sijil kemampanan kayu kayan di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS).

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Malaysia juga akan bekerjasama dengan lain-lain pengeluar komoditi dan badan-badan antarabangsa dan serantau bagi menangani isu-isu ke arah memperkukuhkan pembangunannya. Ini termasuk kerjasama di bawah kerangka Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC), International Tripartite Rubber Council (ITRC), Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC), International Tropical Timber Organization (ITTO), International Cocoa Organization (ICCO) dan International Pepper Community (IPC).

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus melaksanakan langkah-langkah untuk memperkasa pertumbuhan sektor komoditi. Ini adalah untuk memastikan industri komoditi akan terus berdaya saing dan terus menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

    Sekian, terima kasih.



     
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Memperkasa Pertumbuhan Sektor Komoditi: Jawapan Di Parlimen Oleh YB Dato Hajjah Noriah Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top