• Entri Terkini

    Wednesday, March 09, 2016

    Sasaran 30% Wanita Pegang Jawatan Penggubal Dasar Tahun 2016

    Program Pengarah Wanita yang diperkenalkan pada 2012 berjaya melatih 960 wanita dalam pelbagai bidang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

    Beliau berkata mereka yang terlatih berusia 30 tahun ke atas kini bersedia untuk ditempatkan di mana-mana syarikat awam dan swasta bagi mengisi jawatan penggubal dasar.

    “Pengisian jawatan itu di sektor swasta masih dalam lingkungan 16 hingga 17 peratus. Program Pengarah Wanita sangat membantu bagi mengisi jawatan tersebut,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV membincangkan topik “Semai Semangat Sukarelawan” di sini hari ini.

    Mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat lebih banyak wanita memegang jawatan menggubal dasar dan membuat keputusan di sektor swasta, Rohani berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 30 peratus golongan wanita memegang jawatan itu.

    Perdana Menteri menerusi catatan dalam blog beliau, www.najibrazak.com mahu syarikat senaraian awam mengambil ramai wanita bagi jawatan menggubal dasar dan membuat keputusan kerana pada masa kini hanya 15.6 peratus wanita memegang jawatan itu.

    Rohani berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2016 bertemakan Kesaksamaan Gender menjadi platform terbaik meraikan pencapaian golongan wanita dalam pelbagai sektor merangkumi sosial, ekonomi dan politik.

    Beliau yang dilantik sebagai Presiden Majlis Antara Kerajaan Bagi Pengurusan Transformasi Sosial UNESCO di Paris tahun lepas berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa membawa pengertian tersendiri kepada golongan wanita selain membentuk suatu pengiktirafan membanggakan. Menurut Rohani, pemilihan tema kali ini bertepatan dengan objektif kementerian dalam memperjuangkan hak serta kepentingan wanita sekaligus mengelak diskriminasi dan eksploitasi terhadap golongan itu.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sasaran 30% Wanita Pegang Jawatan Penggubal Dasar Tahun 2016 Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top