• Entri Terkini

    Tuesday, March 29, 2016

    Tangguh Kutip Wang Ses Getah

    KUALA LUMPUR 28 Mac - Berkuat kuasa 1 April ini, kutipan wang Ses Getah ditangguhkan sebanyak 14 sen sekilogram bagi semenanjung sehingga harga mentah produk komoditi itu stabil pada paras Standard Getah Malaysia (SMR) 20 kembali ke tahap RM5.50.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme pelaksanaan akan dibincangkan secara terperinci bersama agensi yang berkaitan seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

    Katanya, sebelum ini pekebun kecil dan getah dikenakan poto­ngan hasil getah sebanyak 14 sen sekilogram yang dikutip oleh JKDM untuk disalurkan kepada RISDA bagi tujuan tanaman semula dan LGM bagi aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D).

    Menurutnya, penangguhan wang Ses ini akan memberi manfaat kepada 355,000 pekebun kecil getah kerana pendapatan mereka dijangka mening­kat antara RM38 hingga RM50 sekilogram bagi tempoh sebulan.

    “Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perusahaan dan Komoditi untuk mengadakan pelbagai program ekonomi.

    “Antara program yang dijangka dilaksanakan adalah keusahawanan, ternakan dan tanaman kebun dapur serta yang berupaya dipasarkan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan getah daripada RM500 kepada RM1,000 sebulan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-cara Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil, Komoditi Industri Ke-19 di Bangunan Majlis Mara di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Doughlas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

    Dalam mesyuarat tersebut, sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, RISDA, Felda dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kaedah kerjasama melibatkan pelbagai kementerian dan agensi itu dilaksanakan bagi mendidik pekebun kecil dan getah tidak bergantung terhadap tanaman komoditi sebagai sumber pendapatan semata-mata.

    Di samping itu, katanya, kementerian juga akan merangka satu memorandum bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenai strategi serta cadangan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan getah yang dijangka dibentangkan ke Parlimen dalam tempoh dua minggu lagi.

    Katanya, kedua-dua kementerian itu dan beberapa agensi terlibat turut akan mencadangkan kepada Kabinet untuk memberi beberapa insentif lain seperti pemberian wang one-off bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta getah.

    Harga getah yang terus menurun pada harga purata bulanan SMR 20 pada awal tahun ini adalah RM4.66 sekilogram (kg) berbanding RM4.85 pada Oktober 2014.



    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tangguh Kutip Wang Ses Getah Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top