• Entri Terkini

    Monday, March 28, 2016

    Video Pertemuan Bersejarah Zaman Khan Dengan 'Bayi Ajaib Highland Tower

    Perasaan sebak mengiringi pertemuan bersejarah antara Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan dengan `bayi ajaib’ Nur Hamidah Nadjib dan ibunya, Umi Rasyidah Khoiruman, yang telah diselamatkan dalam tragedi Highland Towers yang berlaku pada 11 Disember 1993 lalu.

    “Dulu kecil…sekarang dah besar,” merupakan reaksi daripada Mohamad Zaman sebaik sahaja dipertemukan dengan Nur Hamidah atau nama panggilannya Mida, yang kini sudah berusia 24 tahun dan Umi.

    Menurut Mohamad Zaman, beliau sudah lama mencari Mida dan ibunya namun baru kali ini dapat bertemu. Beliau turut berharap agar dapat mencari mangsa yang lain yang terselamat dalam tragedi berkenaan.

    Sementara Mida pula dalam nada sebak memberitahu, meskipun dia tidak mengingati kejadian itu namun dia rasa bersyukur dan mengucapkan beribu-ribu terima kasih kepada mereka yang telah menyelamatkannya.

    “Meskipun Mida tak ingat apa-apa tetapi Mida mahu ucapkan terima kasih pada Tan Sri kerana selamatkan Mida,” katanya.

    Sementara Umi pula berulang kali melahirkan rasa gembira dapat dipertemukan dengan Zaman. Dia turut mengucapkan syukur kerana terselamat dalam tragedi berkenaan.

    Dalam pertemuan itu, Mohamad Zaman turut memberikan gambar di mana Mida sedang diselamatkan dalam tragedi berkenaan.

    Pertemuan bersejarah antara Mida, Umi dan Mohamad Zaman itu diatur oleh TV9 dan disiarkan secara langsung dalam berita jam 12 tengah hari tadi.

    Mida bertolak dari Surabaya bersama tiga ahli keluarga lain jam 5.10 pagi tadi. Selain Umi, turut menemani Mida ialah adik perempuannya, Iftitahun Nabilah, 22, dan suaminya, Zahroni Ahda Ghoni Pratama, 26.

    Ketibaan mereka yang berasal dari Jawa Timur itu disambut bapa Hamidah, Nadjib Mustahar, 53.

    Ketika tragedi Highland Towers itu, Mohamad Zaman adalah pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau merupakan antara pegawai kanan polis terawal tiba di lokasi kejadian.

    Tragedi berkenaan mengorbankan 48 penghuni selepas satu daripada tiga blok kondominium berkenaan runtuh. 


    sumber - TV14 


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Video Pertemuan Bersejarah Zaman Khan Dengan 'Bayi Ajaib Highland Tower Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top