• Entri Terkini

    Thursday, April 07, 2016

    1,121 Permohonan Kahwin Bawah Umur Tahun Lalu - KPWKM

    KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 827 permohonan perkahwinan di bawah umur 16 tahun bagi masyarakat Islam direkodkan tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

    Beliau berkata Majlis Istiadat Sarawak pula merekodkan sebanyak 294 permohonan bagi tahun yang sama.

    "Perkahwinan bagi bukan Muslim di bawah umur 16 tahun adalah tidak sah berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) mengenai jumlah perkahwinan membabitkan warganegara yang belum mencapai umur 16 tahun.

    Teo juga mahu kementerian menyatakan langkah-langkah untuk melarang perkahwinan bawah umur memandangkan Malaysia telah menerima satu resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak pada Oktober 2013.

    Rohani berkata di Malaysia, perundangan perkahwinan adalah di bawah undang-undang keluarga ditadbir secara berasingan bagi yang beragama Islam dan bukan Islam.

    "Perkahwinan Islam ditadbir di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri yang memperuntukkan bahawa perkahwinan di bawah umur 16 tahun hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah.

    "Bagi yang bukan beragama Islam, Seksyen 10 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 memperuntukkan bahawa umur minimum perkahwinan pada 18 tahun. Bagaimanapun seorang perempuan yang telah mencapai umur 16 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran (lesen) yang diberikan oleh Ketua Menteri," katanya.

    Katanya perkahwinan adat pula dilaksana dan didaftarkan di bawah undang-undang adat mengikut kaum peribumi masing-masing di Sarawak dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah.

    Sementara itu, Rohani berkata KPWKM mengambil pendirian bahawa kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

    Oleh itu katanya, beberapa langkah diambil untuk menangani perkahwinan bawah umur termasuk mewujudkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Kebangsaan, penubuhan pasukan pertugas Perkahwinan Bawah Umur serta pewujudan pusat remaja kafe@TEEN di seluruh negara bagi memberikan maklumat berkaitan isu psikososial dan kaunseling.

    -- BERNAMA
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 1,121 Permohonan Kahwin Bawah Umur Tahun Lalu - KPWKM Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top