• Entri Terkini

    Tuesday, April 05, 2016

    19 NGO Desak Azmin Ali Jawab Isu Lebuh Raya

    Sebanyak 19 NGO hari ini mendesak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali untuk menjawab soalan berkaitan tiga projek Lebuh Raya yang akan dibina di negeri itu.

    Lebuh raya itu ialah Lembah Klang Timur (EKVE), Projek Lebuh Raya Sungai Besi-Hulu Klang (Suke) dan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (Dash).

    Jurucakap bagi kumpulan itu Sivarajan Arumugan berkata, Azmin wajar menjawab kesemua soalan yang ditujukan kepadanya memandangkan ia melibatkan isu berkaitan alam sekitar.

    Sivarajan yang juga setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata, pihak NGO mengkhususkan EKVE memandangkan ia berada di hutan tadahan air.

    “Kita tak puas hati dengan lebuhraya-lebuhraya yang ingin di bina, dan yang kita nak tekankan di sini adalah lebuh raya EKVE yang akan melalui hutan simpan warisan Selangor. Ia telah digazetkan pada 2007 dan ia kawasan tadahan air, flora dan fauna.

    “Azmin kata hutan ini boleh diganti, kita berpandangan ia tidak betul. Sekiranya kamu sudah menembusinya keseluruhan ekosistem, keseluruhan tadahan air akan terjejas.

    “Kita kemukakan soalan dan kita harap kerajaan negeri akan menjawab,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
    Antara soalan dikemukakan adalah kenapa lokasi tadahan air dimusnahkan, bolehkah ekosistem hutan diganti, adakah syarat gazet hutan dipatuhi dan polisi jangka masa panjang untuk menjaga warisan hutan.

    Justeru satu memorandum dihantar kepada Azmin bagi membantah pembinaan lebuh raya tersebut dan diterima oleh Pegawai Berita Pejabat Menteri Besar Selangor Shahril Said.

    Sebelum ini Azmin dilapor berjumpa beberapa NGO bagi memberi penjelasan berkenaan pembinaan EKVE yang didakwa mengancam habitat haiwan di hutan simpan tempatan

    Januari lalu, penampakan seekor kambing gurun Sumatera (Capricornis sumatraensis) yang juga spesis terancam di kawasan Ukay Perdana mencetuskan kebimbangan habitat haiwan itu diganggu berikutan pembinaan EKVE.

    Kawasan Hutan Simpan Ampang diisytiharkan sebagai zon larangan masuk bagi pelawat untuk memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya bertol 39.5km yang akan menghubungkan Sungai Long ke Damansara.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 19 NGO Desak Azmin Ali Jawab Isu Lebuh Raya Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top