• Entri Terkini

    Thursday, April 21, 2016

    Kenapa PM Mohon Mahkamah Batalkan Saman

    Datuk Seri Najib Razak memohon untuk membatalkan saman dikemukakan terhadapnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan beliau melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam membabitkan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.

    Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Perdana Menteri berkata, pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.

    Beliau berkata, permohonan itu difailkan dengan alasan tiada sebarang elemen perbuatan salah laku seperti yang didakwa Mahathir, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin, dalam pernyataan tuntutan ketiga-tiga plaintif itu.

    “Oleh itu pihak kami dengan ini menyatakan bahawa writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan plaintif pada 23 Mac lalu adalah remeh, menyusahkan dan hendaklah dibatalkan mahkamah.

    Selain itu, kami juga memohon untuk menggantung prosiding kes saman ini sehingga Mahkamah Tinggi mendengar permohonan kami untuk membatalkan saman plaintif pada 23 Jun ini,” katanya selepas prosiding pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi sebentar tadi.

    Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif memohon perisytiharan bahawa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam selaku Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

    Perbuatan salah laku itu adalah dengan secara aktif dan sengaja mengganggu siasatan terhadap dakwaan salah laku kewangan berhubung 1MDB dan syarikat berkaitan, dan siasatan aliran masuk RM2.6 bilion serta RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

    Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Najib dengan sengaja mengambil langkah menghukum kerana mereka (plaintif) melaksanakan hak perlembagaan dan undang-undang apabila mempersoalkan dan mendesak jawapan bagi isu 1MDB.

    Mahathir, Khairuddin dan Anina juga memohon perintah supaya Najib membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan berjumlah RM42 juta yang dibayar kepada Kerajaan Malaysia.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kenapa PM Mohon Mahkamah Batalkan Saman Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top