• Entri Terkini

    Tuesday, April 19, 2016

    Komoditi Getah Berorientasi Eksport, Harga Bergantung Kepada Ekonomi Dunia - Yb Dato Noriah Kasnon

    PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAPAN LISAN MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT,
    PARLIMEN KETIGA BELAS
    MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA

    PERTANYAAN : LISAN

    DARIPADA : DATUK DR. JOHARI BIN MAT

    TARIKH : 19 APRIL 2016

    SOALAN :

    Dato' Dr. Johari bin Mat minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian untuk membantu pekebun-pekebun kecil getah yang menghadapi kemelesetan ekonomi dan kejatuhan harga komoditi tersebut

    JAWAPAN: YB DATO’ NORIAH BINTI KASNON, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, komoditi getah adalah berorientasikan eksport dan harganya bergantung kepada keadaaan ekonomi dunia khususnya di negara-negara pengimport utama. Selain itu, stok dunia komoditi ini mempunyai implikasi terhadap harga. Walau bagaimanapun, pada masa ini harga getah telah menunjukkan peningkatan. Harga purata bulanan SMR20 telah meningkat dari RM4.66 pada bulan Januari 2016 kepada RM5.16 pada bulan Mac 2016.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah kesan daripada ketidakstabilan harga getah. Dalam hal ini, langkah serta merta yang telahpun dilaksanakan bagi meringankan beban penurunan harga getah termasuk:

    i. Melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mulai bulan Januari 2015. Pada Januari 2016, Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG telah dinaikkan dari harga SMR20 RM5.10 sekilogram kepada RM5.50 sekilogram dan bagi cuplump dari RM2.00 kepada RM2.20 sekilogram dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta. Sehingga 6 April 2016, sebanyak 93,365 permohonan telah diluluskan untuk menerima IPG melibatkan peruntukan sebanyak RM14.01 juta;

    ii. Melaksanakan Mekanisme Penetapan Harga di Ladang dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta kepada koperasi sebagai modal pusingan untuk menjalankan aktiviti urusniaga getah. Berdasarkan maklum balas, sehingga kini sebanyak 18 koperasi sedang terlibat dalam urusniaga getah dan menawarkan pada puratanya RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah berlesen;

    iii. Menyediakan infrastruktur kutipan lateks dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menggalakkan para pekebun kecil meningkatkan pengeluaran lateks. Ini adalah memandangkan harga lateks adalah lebih tinggi berbanding harga cuplump;

    iv. Meneruskan bantuan kepada pekebun kecil untuk aktiviti tanam semula dan tanam baru, iaitu sebanyak RM9,230 sehektar bagi Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak masing-masing berjumlah RM14,000 dan RM13,500 sehektar; dan

    v. Menangguhkan kutipan ses sekiranya harga getah SMR20 berada di paras di bawah RM5.50 sekilogram mulai bulan April 2016. Mekanisme pelaksanaan keputusan ini sedang diperhalusi memandangkan ia melibatkan pelbagai agensi.


    Selain langkah-langkah tersebut, Kerajaan juga mempunyai beberapa perancangan bagi membantu pekebun kecil getah. Ini termasuk:

    i. Menggalakkan pekebun kecil melibatkan dalam aktiviti pertanian lain melalui integrasi tanaman getah dengan lada dan lain-lain aktiviti pertanian; dan

    ii. Mengkaji semula mekanisme penetapan harga bagi memastikan pekebun kecil menikmati harga yang berpatutan.

    Sekian, terima kasih.


    YB Dato Noriah Kasnon, Timbalan Menteri MPIC sedang berbincang dengan pegawai-pegawai dari MPIC , Bhg BISS dan LGM sebelom menjawab soalan dari YB Senator Dato Dr Johari Mat mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk membantu pekebun-pekebun getah kecil yang menghadapi kemelesetan ekonomi dan kejatuhan harga komoditi tersebut di Dewan Negara pagi ini.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Komoditi Getah Berorientasi Eksport, Harga Bergantung Kepada Ekonomi Dunia - Yb Dato Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top