• Entri Terkini

    Monday, April 25, 2016

    Langkah Mengawal Kemasukan Getah Dari Negara Jiran - YB Dato' Noriah Kasnon

    PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAPAN LISAN MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT,
     

    PARLIMEN KETIGA BELAS
    MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA

    PERTANYAAN : LISAN

    DARIPADA : TUAN RAMLI BIN SHARIFF

    TARIKH : 25 APRIL 2016

    SOALAN :

    Tuan Ramli bin Shariff minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan langkah-Iangkah yang diambil bagi mengawal kemasukan getah dari negara jiran.

    JAWAPAN: YB DATO’ NORIAH BINTI KASNON, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Terlebih dahulu, saya memohon menjawab soalan ini bersekali dengan empat lagi soalan, iaitu daripada YB Senator Datuk Seri Nalla K. S. bertarikh hari ini 25 April 2016; soalan YB Senator Datuk Hajah Noriah binti Mahat bertarikh 26 April 2016; serta soalan-soalan daripada YB Senator Dato’ Haji Mohd Salim bin Sharif bertarikh masing-masing 27 dan 28 April 2016 memandangkan soalan-soalan tersebut menyentuh isu yang sama iaitu, isu komoditi getah.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, komoditi getah adalah berorientasikan eksport dan harganya bergantung kepada keadaaan ekonomi dunia khususnya di negara-negara pengimport utama. Selain itu, stok dunia komoditi ini mempunyai implikasi terhadap harga. Walau bagaimanapun, pada masa ini harga getah telah menunjukkan peningkatan. Harga purata bulanan SMR20 telah meningkat dari RM4.66 pada bulan Januari 2016 kepada RM5.16 purata pada bulan Mac 2016.

    Dalam hal ini, Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan para pengusaha dan penoreh getah kesan daripada ketidakstabilan harga getah. Dalam hal ini, langkah serta merta yang telahpun dilaksanakan bagi meringankan beban penurunan harga getah termasuk:

    i. Melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mulai bulan Januari 2015. Pada Januari 2016, Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG telah dinaikkan oleh Kerajaan dari harga SMR20 RM5.10 sekilogram kepada RM5.50 sekilogram dan bagi harga cuplump dari RM2.00 kepada RM2.20 sekilogram dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta. Sehingga 6 April 2016, sebanyak 93,365 permohonan telah diluluskan untuk pengagihan IPG melibatkan peruntukan sebanyak RM14.01 juta;

    ii. Melaksanakan Mekanisme Penetapan Harga di Ladang dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta kepada koperasi-koperasi sebagai modal pusingan untuk menjalankan aktiviti urusniaga getah. Berdasarkan maklum balas, sehingga kini terdapat sebanyak 18 koperasi sedang terlibat dalam urusniaga getah dan menawarkan pada puratanya RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah berlesen;

    iii. Menyediakan infrastruktur kutipan lateks dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menggalakkan para pekebun kecil meningkatkan pengeluaran lateks. Ini adalah memandangkan harga lateks adalah lebih tinggi berbanding harga cuplump; dan

    iv. Menangguhkan kutipan ses sekiranya harga getah SMR20 berada di paras bawah RM5.50 sekilogram mulai bulan April 2016. Mekanisme pelaksanaan keputusan ini sedang diperhalusi memandangkan ia melibatkan beberapa agensi.

    Selain langkah-langkah tersebut, Kerajaan juga mempunyai beberapa perancangan bagi membantu pekebun kecil getah. Ini termasuk:

    i. Menggalakkan pekebun kecil melibatkan diri dalam aktiviti pertanian lain melalui integrasi tanaman getah dengan lada dan lain-lain aktiviti pertanian; dan

    ii. Mengkaji semula mekanisme penetapan harga bagi memastikan pekebun kecil menikmati harga yang berpatutan.

    Selain itu, strategi jangka masa panjang Kementerian turut:

    i. Menggalakkan peningkatan penggunaan getah dalam negara sehingga 10% daripada jumlah pengeluaran getah asli negara. Ini termasuk penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya dan penghasilan produk-produk baru dan bernilai tambah berasaskan getah;

    ii. Memperkukuhkan aktiviti-aktiviti penyelidikan pembangunan ke arah menghasilkan produk-produk baru dan nilai tambah berasaskan getah;

    iii. Bekerjasama dengan lain-lain negara pengeluar getah asli bagi menstabilkan harga getah seperti di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) dan Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC); dan

    iv. Meneruskan bantuan seperti bagi aktiviti tanam semula dan tanam baru.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Berhubung pertanyaan YB Senator Tuan Ramli bin Shariff, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini Malaysia tidak melarang pengimportan getah asli dari mana-mana negara. Ini adalah memandangkan terdapat kekurangan bahan mentah terutamanya lateks untuk keperluan industri sarung tangan getah. Pengeluaran lateks dalam negara pada tahun 2015 adalah sebanyak 45,862 tan manakala penggunaan lateks pula adalah sebanyak 406,930 tan.

    Walau bagaimanapun, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjalankan siasatan secara berkala bagi memastikan kualiti getah yang diimport adalah bersamaan dengan Borang Pengimportan.

    Sekian, terima kasih.



     
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Langkah Mengawal Kemasukan Getah Dari Negara Jiran - YB Dato' Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top