• Entri Terkini

    Tuesday, April 19, 2016

    Langkah Penstabilan Harga Getah Dan Sawit - YB Dato Noriah Kasnon

    PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAPAN LISAN MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT,
    PARLIMEN KETIGA BELAS
    MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA

    PERTANYAAN : LISAN

    DARIPADA : DATUK DR. LUCAS UMBUL

    TARIKH : 18 APRIL 2016

    SOALAN :

    Datuk Dr. Lucas Umbul minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan apakah langkah-langkah dan perancangan Kementerian untuk menstabilkan harga komoditi getah dan kelapa sawit yang mana rakyat luar Bandar amat terkesan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut sejak kebelakangan ini.


    JAWAPAN: YB DATO’ NORIAH BINTI KASNON, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


    Tuan Yang Di-Pertua,

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, komoditi getah asli dan minyak sawit adalah berorientasikan eksport dan harganya bergantung kepada keadaaan ekonomi dunia khususnya di negara-negara pengimport utama. Selain itu, stok dunia kedua-dua komoditi ini mempunyai implikasi terhadap harganya. Walau bagaimanapun, pada masa ini harga kedua-dua komoditi tersebut telah menunjukkan peningkatan.

    Harga CPO telah meningkat daripada RM2,203.50 pada 4 Januari 2016 kepada RM2,610.00 pada 15 April 2016 dan ianya dijangka akan terus kukuh pada tahun 2016. Bagi getah, harga purata bulanan SMR20 telah meningkat dari RM4.66 pada bulan Januari 2016 kepada RM5.16 pada bulan Mac 2016.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Kementerian akan meneruskan usaha-usaha ke arah penstabilan harga CPO dalam jangka masa panjang. Ini termasuk:

    i. Meningkatkan adunan di bawah Program Biobahan Api dari Program B7 (adunan 7% biodiesel sawit dan 93% diesel petroleum) ke B10 (adunan 10% biodiesel sawit dan 90% diesel petroleum) dan pelaksanaan program dijangka mulai pertengahan tahun 2016;

    ii. Meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan produk-produk baru berasaskan sawit seperti farmaseutikal dan nutraseutikal untuk dikomersilkan oleh pihak industri;

    iii. Memperuntukkan RM100 juta bagi pelaksanaan Skim Insentif Tanam Semula (SITS) yang bermula pada bulan Oktober yang lalu;

    iv. Memperkukuhkan pasaran eksport sedia ada serta menembusi pasaran-pasaran baru termasuk negara-negara Asia Tengah, Eropah Timur dan Afrika melalui misi promosi dan teknikal ke luar negara. Dalam hal ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menganjurkan pelbagai program seperti Palm Oil Trade Fair and Seminar (POTS), Techno Economic Seminar, Buyer and Seller Programme, Programme for Rebuilding and Improving Malaysia’s Export (PRIME) Customers Appreciation and Recognition Scheme (CARES) dan Palm Oil Trade Awareness Programme (POTAP); dan

    v. Mengolah strategi pemasaran baru untuk memantapkan lagi eksport sawit ke luar negara dengan kaedah bukan konvensional. Perkara ini sedang dibincangkan di peringkat Majlis Eksport Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

    Di peringkat antarabangsa, Malaysia bersama-sama Indonesia telah memeteraikan piagam penubuhan Council of Palm Oil Producing Countries Council (CPOPC) pada 21 November 2015. CPOPC ditubuhkan sebagai platform untuk negara-negara pengeluar sawit bekerjasama membangunkan industri sawit.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Bagi komoditi getah, antara langkah-langkah penstabilan harga getah asli termasuk:

    i. Menggalakkan peningkatan penggunaan getah dalam negara sehingga 10% daripada jumlah pengeluaran getah asli negara. Ini termasuk penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya dan penghasilan produk-produk baru dan bernilai tambah berasaskan getah;

    ii. Meningkatkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah menghasilkan dan mempelbagaikan produk-produk baru berasaskan getah asli. Bagi tahun 2016, peruntukan sebanyak RM7.28 juta telah disediakan untuk Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi membiayai aktiviti-aktiviti R&D;

    iii. Menyediakan standard berkenaan import bahan mentah bagi menjamin spesifikasi bahan getah mentah diimport dan kualiti SMR yang dihasilkan; dan

    iv. Menyediakan infrastruktur kutipan lateks dengan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menggalakkan para pekebun kecil meningkatkan pengeluaran lateks. Ini adalah memandangkan harga lateks adalah lebih tinggi berbanding harga cuplump.

    Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia bekerjasama dengan lain-lain negara pengeluar getah asli utama dunia bagi memperkukuhkan harga. Ini termasuk, bekerjasama dengan Thailand dan Indonesia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) yang mana syer pengeluaran ketiga-tiga negara ini pada tahun 2015 adalah 68.2% daripada pengeluaran getah asli dunia.

    Salah satu langkah yang sedang diambil oleh negara-negara ITRC, ialah melaksanakan AETS ke-4 dengan izin ‘Agreed Export Tonnage Scheme’ pada tahun 2016 sebagai langkah untuk mengelakkan kejatuhan harga getah asli yang berterusan. Pelaksanaan AETS ke-4 ini berkuat kuasa dari 1 Mac hingga 31 Ogos 2016 melibatkan pengurangan eksport oleh ketiga-tiga negara sebanyak 615,000 tan dalam tempoh tersebut. Pelaksanaan AETS mulai 1 Mac 2016 telah menyaksikan peningkatan harga SMR 20 dari RM4.26 sekilogram pada 11 Februari 2016 kepada RM5.85 sekilogram pada 15 April 2016.

    Lain-lain langkah yang diambil di bawah ITRC termasuk meningkatkan penggunaan getah asli dalam negara masing-masing melalui dengan izin, Demand Promotion Scheme Committee (DPSC); kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D); dan bertukar-tukar maklumat mengenai penggunaan dan penghasilan produk-produk getah. Negara ITRC juga bersetuju menggunakan sebanyak 300,000 tan getah dalam pembinaan jalanraya.

    Selain dari itu, Malaysia bersama dengan 10 lagi negara anggota Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC) telah bersetuju antara lain bekerjasama bagi mengukuhkan harga getah asli.

    Sekian, terima kasih.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Langkah Penstabilan Harga Getah Dan Sawit - YB Dato Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top