• Entri Terkini

    Tuesday, April 12, 2016

    Laporan Masuk Semula PKR Berniat Jahat - Ezam

    Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamed Ezam Mohd Nor menafikan laporan dia akan kembali ke pangkuan parti itu dalam masa terdekat.

    Dia menyifatkan dakwaan yang dilaporkan oleh sebuah portal berita itu sebagai khabar angin dan fitnah jahat terhadapnya.

    Ezam yang isytihar keluar PKR pada 2008 kini menetap di Indonesia.

    “Saya sekarang tumpu kepada pembinaan Hisbah Centre for Reform di Indonesia. Kami baharu terbitkan kitab arab klasik hisbah yang pertama semalam di Indonesia sempena 1 Rejab.

    “Sejak tinggalkan Kementerian Kewangan dan tamatkan kontrak lebih awal tumpuan saya hanya pada Hisbah Centre khususnya terjemahan kitab Arab klasik mengenai hisbah dan rasuah ke bahasa nusantara.
    Saya tidak terbabit dan tiada rencana untuk mana-mana parti politik di Malaysia,” yang dipetik portal Watan Online.

    Kelmarin, portal pro-UMNO, Suara TV melaporkan Ezam yang juga merupakan bekas Senator dijangka menyertai semula PKR dalam masa terdekat bagi membantu memperkukuhkan politik Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Memetik sumber, laman portal SuaraTV melaporkan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan bersama bekas Ketua Pemuda PKR itu.

    Dakwaan itu dinafikan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan menganggap ia propaganda UMNO untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu 1MDB.

    Ezam antara individu penting dalam siri tunjuk perasaan membantah pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998. Menyertai Parti Keadilan pada awal penubuhannya, Ezam menyertai UMNO semula pada 2008.

    Pada PRU-13, nama Ezam dikatakan di senarai akhir untuk bertanding di Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Laporan Masuk Semula PKR Berniat Jahat - Ezam Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top