• Entri Terkini

    Thursday, April 07, 2016

    Laporan PAC dan Jawapan 1MDB

    Kenyataan Media oleh Lembaga Pengarah, 1Malaysia Development Berhad
    Dikeluarkan pada 7 April 2016
    Untuk siaran segera
    Kenyataan Media Lembaga Pengarah 1MDB Berkaitan Laporan PAC

    Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (“Lembaga Pengarah”) mengambil maklum isi kandungan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berkenaan 1MDB seperti yang dibentangkan di Parlimen pagi ini (“Laporan PAC”). Pihak Lembaga Pengarah melihat Laporan PAC ini sebagai sebuah dokumen yang menyeluruh dan muktamad, yang telah menyatakan fakta-fakta dengan jelas dan telah menyangkal pelbagai dakwaan berkenaan syarikat.

    Laporan PAC tersebut telah mengenalpasti beberapa kelemahan dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan oleh 1MDB. Apabila ditinjau kembali, kami dapat memahami bagaimana Jabatan Audit Negara dan PAC boleh mengenalpasti kekurangan-kekurangan ini. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk difahami bahawa keputusan-keputusan yang dibuat ketika itu adalah dalam konteks transaksi yang spesifik pada masa tersebut. Tambahan pula, 1MDB merupakan sebuah syarikat yang kompleks dan mempunyai peranan yang pelbagai dalam menjalankan projek-projek strategik berskala besar, mewujudkan kerjasama dengan entiti-entiti kerajaan asing dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

    Pihak umum sedia maklum bahawa 1MDB hanya mempunyai ekuiti tunai sebanyak RM1 juta, yang memerlukan syarikat membuat pergantungan besar kepada pinjaman untuk membiayai pelaburannya. Meskipun berdepan cabaran ini, Lembaga Pengarah telah membuat yang terbaik untuk menguruskan syarikat dengan cara yang tidak akan mengakibatkan beban kewangan kepada Kerajaan.

    Secara khususnya, sebaik sahaja ketidakpadanan aliran tunai (cash-flow mismatch) dikenalpasti pada November 2014, Lembaga Pengarah bertindak segera untuk melantik seorang pakar penstrukturan semula profesional untuk mengetuai 1MDB. Ini membawa kepada perlaksanaan kajian strategik (strategic review) yang seterusnya membawa kepada kejayaan pelan rasionalisasi yang sedang berjalan, yang telah menyelesaikan beban hutang 1MDB. Syarikat telah membayar dan akan terus membayar kesemua hutang jangka pendek dan kesemua hutang bank dengan hasil yang diperolehi daripada penjualan Edra, dan ketika ini mempunyai lebihan tunai kira-kira RM2.3 bilion yang akan diperuntukkan untuk membayar kadar faedah dan keperluan kewangan infrastruktur.

    Lembaga Pengarah percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat seperti mewujudkan prosedur operasi standard (standard operating procedure) untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga Pengarah. Di samping itu, Lembaga Pengarah juga telah memastikan kerjasama penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan ke atas syarikat. Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan dengan sewajarnya.

    Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes "RM42 bilion hilang", seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang telah didakwa.

    Lembaga Pengarah juga telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa Laporan PAC boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat. Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan 100% pemegang saham 1MDB.

    Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC.


    Laporan PAC 

    Kenyataan Media YB Dato’ Hasan bin Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen

    1) Hari ini, PAC membentangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu.

    2) PAC yang dianggotai 14 Ahli Parlimen sembilan ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif dengan mengemukakan rumusan serta cadangan kepada Kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD)

    3) PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB.

    4) PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu.

    5) Jawatankuasa ini bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan Kabinet yang mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB.

    6) PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini.

    7) PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang.

    8) PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini

    9)Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil.

    Dato’ Hasan bin Arifin
    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Merangkap Ahli Parlimen Rompin
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Laporan PAC dan Jawapan 1MDB Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top