• Entri Terkini

    Wednesday, April 06, 2016

    Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang - Teks Ucapan YB Dato Hajah Noriah Kasnon

    TEKS UCAPAN
    YB DATO’ NORIAH KASNON
    TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
    LEMBAGA GETAH MALAYSIA TAHUN 2015
    RABU, 6 APRIL 2016

    YB Dato’ Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah
    Pengerusi
    Lembaga Getah Malaysia

    YBhg Datuk Dr Sundaran Annamalai
    Ketua Setiausaha
    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

    YBhg Datuk Dr Mohd Akbar Md Said
    Ketua Pengarah
    Lembaga Getah Malaysia

    Penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2015

    Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Petang dan Salam 1 Malaysia.

    Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat berkumpul pada hari ini bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi tahun 2015. Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga LGM yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan LGM sentiasa mencapai piawaian dan kualiti yang ditetapkan serta memenuhi kehendak dan ekspektasi pelanggan atau stakeholders.

    2. Pada hari ini kita akan meraikan kejayaan 101 orang warga LGM yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang pada tahun 2015. Tahniah saya ucapkan dan semoga anugerah ini menjadi pemangkin serta pendorong dalam usaha untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang tugas masing-masing. Saya juga mengucapkan syabas kepada pengurusan LGM kerana berjaya menganjurkan acara tahunan ini.

    3. Komitmen pihak pengurusan dan warga kerja dalam sesebuah organisasi terhadap budaya kerja cemerlang akan mewujudkan pekhidmatan yang telus, berintegriti, cekap dan berkesan. Usaha ini adalah sejajar dengan matlamat Kerajaan, iaitu mewujudkan perkhidmatan awam yang cekap dan cemerlang, khususnya dari perspektif penyampaian perkhidmatan yang efektif. Dalam hal ini, warga kerja LGM perlulah bersikap responsive terhadap keperluan stakeholders dan sentiasa mempertingkatkan keupayaan dari masa ke semasa untuk mewujudkan perkhidmatan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bagi mencapai objektif pembangunan negara. Ini selaras dengan tag-line LGM iaitu Kreatif, Inovatif dan Progresif.

    Tuan-tuan dan puan-puan,

    4. Peningkatan kualiti perkhidmatan berkait rapat dengan komitmen warga LGM untuk berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar dapat memberi nilai tambah kepada kualiti perkhidmatan. Justeru itu, warga LGM tidak seharusnya berpuas hati dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki, tetapi sebaliknya perlu terus menimba ilmu bagi meneroka bidang-bidang baru ke arah meningkatkan kecekapan dan kemahiran diri. Peningkatan keupayaan amat penting khususnya dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan terlatih bagi menghadapi perubahan dan cabaran di peringkat global.

    5. Perkhidmatan yang berkesan dan kecekapan sistem penyampaian kepada pelanggan dalam industri getah memainkan peranan dalam menyokong kemajuan sektor industri getah di negara ini. Dalam hal ini, LGM yang berperanan sebagai peneraju penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri getah, perlulah sentiasa berperanan menjana teknologi dan inovasi baru di setiap peringkat. Penggunaan teknologi dan kaedah moden di sektor perladangan, pengilangan dan pengeluaran produk nilai tambah dalam industri getah adalah penting bagi merealisasi matlamat Kerajaan membangunkan industri getah negara selaras dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara atau NKEA pada tahun 2020.

    6. Walaupun kita berada di hadapan dari segi kemajuan R&D berbanding negara pengeluar getah asli yang lain, namun kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana negara pesaing akan terus giat meningkatkan usaha untuk memperbaiki kedudukan mereka. Sekiranya kita bersikap mudah berpuas hati dengan pencapaian teknologi sedia ada, suatu hari kelak kita akan jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara pesaing yang lain. Oleh yang demikian, para penyelidik LGM perlu mempergiatkan lagi usaha-usaha menjana teknologi dan inovasi dalam bidang baru yang berupaya membawa industri getah negara ke tahap yang lebih tinggi. Penemuan teknologi, inovasi dan produk baru menerusi usaha berterusan akan memberi kesan positif kepada kemajuan industri getah negara serta mengekalkan Malaysia sebagai peneraju industri getah di peringkat global. Pengkomersilan teknologi bagi pengeluaran produk nilai tambah baru berasaskan Ekoprena dan Pureprena perlu dipergiatkan lagi.

    Tuan-tuan dan puan-puan,

    7. Setiap tugas yang diberikan merupakan satu amanah dan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Setiap warga LGM mempunyai peranan yang sangat besar dalam memastikan setiap dasar dan agenda Kementerian dapat direalisasikan. Perasaan tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap tugas masing-masing perlu wujud bagi menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang. Harapan ikhlas saya ialah supaya wujud kerjasama dan komitmen daripada semua warga LGM dalam perjalanan kita ke arah visi yang sama.

    8. Penganugerahan APC ini bukan hanya sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada anggota yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam melaksanakan tugas atau telah menghasilkan prestasi kerja cemerlang semata-mata. Bahkan dalam skop yang lebih luas, APC merupakan langkah ke arah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan di LGM. Kesungguhan dan komitmen tinggi membawa kepada kecemerlangan perkhidmatan. Kecemerlangan ini boleh kita jadikan sebagai pengukur bahawa perkhidmatan telah berjaya menunaikan amanah dan tanggungjawabnya secara proaktif dalam menjayakan agenda transformasi negara.

    9. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2015. Saya berharap agar semua yang diraikan pada hari ini mengekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang anda telah tunjukkan selama ini. Kejayaan mereka ini wajar menjadi dorongan dan inspirasi kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan dalam menghasilkan teknologi yang memberi impak positif kepada kemajuan industri getah negara.

    Sekian, terima kasih.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
    6 April 2016
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang - Teks Ucapan YB Dato Hajah Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top