• Entri Terkini

    Friday, April 01, 2016

    Pemansuhan Subsidi Tepung 25kg – Menjelaskan Kekeliruan Orang Ramai

    Kerajaan telah mula mengkaji secara mendalam mengenai impak penghapusan subsidi tepung 25kg seawal tahun 2012. Kajian ini dibuat untuk meneliti impak penghapusan subsidi ini kepada pengguna dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Keputusan kajian menunjukkan bahawa pengguna dan peniaga kecil tidak terkesan dengan penghapusan tersebut kerana mereka akan membeli tepung dalam bungkusan yang lebih kecil seperti bungkusan 1kg.

    Kerajaan juga telah menerima beberapa saranan daripada persatuan pengguna dan NGO lain untuk memansuhkan subsidi tepung 25kg. Ini kerana, subsidi ini telah tersasar daripada tujuan sebenar untuk membantu meringankan beban rakyat, malahan yang menikmati subsidi ini adalah pemilik restoran besar dan hotel. Misalnya pada April 2012, 20 NGO yang diwakili oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Yayasan Muamalat Belia (YMB), Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Majlis Belia Putrajaya dan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menghantar satu memorandum kepada kerajaan untuk menghapuskan subsidi tepung 25kg.

    Maka satu keputusan telah dibuat oleh kerajaan untuk menghapuskan subsidi tepung 25 kg, tetapi dalam masa yang sama subsidi tepung dalam bungkusan yang lebih kecil seperti 1kg akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat. Bagi setiap kilogram tepung, kerajaan telah memperuntukkan subsidi sebanyak 0.55 sen.

    Pada tahun 2015, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk subsidi tepung. Hasil daripada penghapusan subsidi tepung 25kg, peruntukan untuk subsidi tepung telah menurun kepada RM73 juta sahaja pada tahun 2016. Melalui langkah ini kerajaan telah dapat menjimatkan sebanyak RM77 juta. Wang ini boleh disalurkan kepada projek-projek lain yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

    Sebagai contoh, dengan peruntukan RM77 juta kerajaan mampu membina 2 buah sekolah menengah yang boleh menampung seramai 2400 orang pelajar. Lebih banyak pelajar khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dapat memperolehi pendidikan formal dengan kemudahan yang lengkap dan persekitaran yang selesa. Sebelum ini, RM77 juta ini dinikmati oleh syarikat-syarikat pengusaha restoran dan hotel besar.

    Langkah ini selaras dengan usaha program rasionalisasi subsidi bagi memastikan subsidi yang diberikan terus dinikmati oleh golongan rakyat yang memerlukan dan bukan disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan peribadi atau mengaut keuntungan. Penjimatan puluhan billion ringgit hasil daripada rasionalisasi ini pula boleh disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk manfaat yang lain seperti pembangunan infrastruktur, koridor ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

    Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar dan kejatuhan harga petroleum, kerajaan perlu terus berjimat dalam berbelanja. Selain memastikan ekonomi terus stabil, kerajaan juga menghadapi cabaran untuk memastikan defisit fiskal berkurangan disamping membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Semua pihak perlu membantu kerajaan kearah untuk merealisasikan usaha ini dengan tidak mementingkan diri.

    Pengusaha restoran besar dan kedai makan harus menerima keputusan kerajaan ini dengan hati yang terbuka. Mereka tidak harus menaikkan harga makanan mereka dengan sesuka hati. Walaupun mereka perlu membayar lebih untuk membeli tepung pada masa akan datang, mereka harus faham bahawa wang yang mereka belanjakan adalah untuk kebaikan negara dan rakyat. Jika negara dan rakyat terus maju, mereka adalah golongan yang paling banyak mendapat manfaat apabila perniagaan mereka semakin melonjak naik hasil daripada kemakmuran ekonomi negara.



    sumber
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pemansuhan Subsidi Tepung 25kg – Menjelaskan Kekeliruan Orang Ramai Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top