• Entri Terkini

    Tuesday, April 19, 2016

    #PRN Sarawak: Kenali Calon BN

    Pengumuman terbaru calon BN di Tasik Biru, Maradong dan Marudi petang semalam, melengkapkan senarai 82 ‘Pasukan Adenan’ bagi merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pilihan raya negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak, 7 Mei ini.  

    Beberapa pendekatan baru diperkenalkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada PRN kali ini, antaranya dalam soal menamakan calon BN terlebih dahulu sebelum hari penamaan calon secara berperingkat yang diistilahkan beliau sebagai ‘Pasukan Adenan’ serta pengenalan ‘calon langsung’.

    Berikut adalah beberapa fakta mengenai ‘Pasukan Adenan’ sepintas lalu:

    * Daripada 82 kerusi berkenaan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Adenan akan bertanding merebut 40 kerusi, manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) 11, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 13, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lima, dan calon langsung 13.

    * Seramai 13 calon dianggap ‘boleh menang’ dipilih untuk bertanding atas tiket BN di 13 kerusi DUN yang menjadi ‘tuntutan’ beberapa parti. Ia merupakan jalan penyelesaian diambil Adenan, di mana beliau memilih calon ‘boleh menang’ untuk kerusi berkenaan, namun calon itu perlu meletak jawatan dalam parti, walau apa pun partinya.

    Selepas pilihan raya, individu berkenaan boleh memilih parti mana daripada komponen BN yang ingin disertainya.

    * Tiga belas calon langsung yang ditampilkan pada PRN kali ini terdiri daripada N01 Opar, N18 Serumbu, N19 Mambong, N23 Bukit Semuja, N33 Engkilili, N47 Pakan, N52 Dudong, N53 Bawang Assan, N54 Pelawan, N71 Bekenu, N74 Pujut, N78 Mulu, N80 Batu Danau.

    * Daripada 11 kerusi DUN baharu yang ditampilkan pada PRN ini ekoran proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), lima daripadanya ditandingi PBB, manakala dua ditandingi PRS, satu SUPP dan tiga calon langsung BN.

    * Calon wanita dalam ‘Pasukan Adenan’ adalah lima orang berbanding senarai calon BN Sarawak yang bertanding pada PRN-10 lepas. Empat yang merupakan penyandang terdiri daripada Sharifah Hasidah (N7 Samariang), Hajjah Simoi Peri (N28 Lingga), Datuk Fatimah Abdullah (N56 Dalat) dan Rosey Yunus (N71 Bekenu); manakala satu muka baru adalah Datuk Janet Lau, balu kepada mendiang Robert Lau Hoi Chew, Timbalan Menteri Pengangkutan yang meninggal dunia pada 2010.

    Beliau akan bertanding sebagai calon langsung BN di kerusi DUN Pelawan.

    * Berdasarkan pengamatan, rata-rata kalangan anggota ‘Pasukan Adenan’ terdiri daripada ahli politik dan ahli perniagaan, dan kira-kira 10 adalah dalam kalangan profesional termasuk peguam, dan antara beberapa individu yang wajar diberi perhatian adalah seorang pakar kardiologi (Presiden SUPP Dr Sim Kui Han – N14 Batu Kawah), bekas Mufti Perlis (Datuk Dr Juanda Jaya – N44 Jemoreng), serta seorang lagi pakar kardiologi Dr Annuar Rapaee (calon/penyandang N55 Nangka).

    * Sekitar 30 calon yang disenaraikan terdiri daripada muka baru, manakala tiga calon ditukar kawasan yang ditandingi mereka, dan selebihnya adalah penyandang, atau pernah ditampilkan dan kalah dalam pertandingan sebelum ini.

    * Dua anggota Parlimen yang akan bertanding di PRN kali ini ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Anggota Parlimen Betong, dan Tan Sri William Mawan, Anggota Parlimen Saratok.

    * Gerald Rentap, 42, dan Allan Siden, 30, akan bertanding di kawasan yang disandang bapa masing-masing, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu dan Datuk Gramong Juna, selama sembilan penggal.





    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: #PRN Sarawak: Kenali Calon BN Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top