• Entri Terkini

    Tuesday, April 26, 2016

    #PRNSarawak: N37 Bukit Saban, "Empat Keutamaan" Akan Dilaksanakan - Douglas Uggah Embas

    BETONG, 25 April (Bernama) -- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban mahu membawa pembangunan ekonomi ke kawasan itu sebagai pencetus pembangunan keseluruhan.

    Bukan merupakan orang asing bagi kawasan itu memandangkan Uggas adalah anggota Parlimen Betong di mana terletaknya DUN Bukit Saban, selama tujuh penggal, telahpun menggariskan empat keutamaan yang akan dilaksanakan jika dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

    Beliau berkata meningkatkan infrastruktur asas, meneroka peluang ekonomi, memperbaiki kemudahan pendidikan serta mengatasi masalah pengangguran akan diberikan tumpuan agar kawasan Bukit Saban menjadi sebuah kawasan berdaya saing dari semua aspek.

    "Di kawasan ini kemudahan elektrik sudah 95 peratus, jaringan hubungan jalan raya 98 peratus dan bekalan air sudah lebih 80 peratus. Kita akan terus berusaha agar semua infrastruktur asas ini dipertingkatkan.

    "Selain itu perkara kedua yang akan diberikan tumpuan ialah meneroka peluang pembangunan ekonomi rakyat di kawasan ini yang rata-rata adalah petani dan nelayan," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Pejabat Daerah Kecil Spaoh di sini Isnin.

    "Kerajaan BN akan memastikan agar usaha kerajaan membantu golongan B40 tercapai, di kawasan ini juga rata-rata penduduk mempunyai aset tanah yang masih luas serta kita mempunyai tenaga kerja yang mencukupi," katanya.

    Naib Presiden Kanan PBB itu turut berkata perkara ketiga yang akan diberikan tumpuan ialah meningkatkan kemudahan pendidikan, sementara yang terakhir ialah mencari cara untuk mengatasi masalah pengganguran di kawasan tersebut.

    "Tumpuan kepada pembangunan pendidikan perlu bagi memastikan anak-anak kita mendapat peluang pendidikan yang sempurna. Saya akan berbincang dengan Menteri Pendidikan (Datuk Seri Mahdzir Khalid) bagaimana untuk meningkatkan kemudahan di sini supaya anak-anak mendapat ilmu, kemahiran lebih baik seterusnya memperoleh kehidupan sempurna," katanya.

    Uggah berkata latihan kemahiran menerusi kursus-kursus yang sesuai akan cuba dilaksanakan di kawasan tersebut dalam usaha mengatasi masalah penggangguran di kawasan itu.

    Uggah, 61, dicabar oleh Noel Changgai Bucking daripada PKR di kawasan yang majoriti pengundinya daripada kaum Iban.

    Pada PRN 2011, kerusi DUN Bukit Saban dimenangi oleh calon Robert Lawson Chuat daripada PBB dengan majoriti 2,774 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

    Beliau mengalahkan calon SNAP Dayrell Walter Entrie yang hilang wang deposit dan calon PKR Jerah Engkiong.

    Sementara itu, Changgai ketika ditemui Bernama berkata secara peribadi beliau mengenali Uggah, dan mengakui tidak mudah untuk memberi saingan kepadanya.

    Ini adalah kerana Uggah telah membawa banyak pembangunan ke kawasan Parlimen Betong.

    Sementara itu, Uggah sebaik selesai majlis penamaan calon telah turun padang bersama Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ke tiga buah sekolah di kawasan itu.

    Tinjauan mesra kedua-dua menteri ke Sekolah Kebangsaan (SK) Spaoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Spaoh dan SK Ng Gayau bertujuan mengenal pasti kemudahan yang perlu ditingkatkan di sekolah terbabit.

    Terdahulu, Mahdzir mengiringi Uggah ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Kecil Spaoh.

    Uggah turut mengambil peluang kehadiran Mahdzir untuk menyatakan masalah yang dihadapi sekolah-sekolah di kawasan itu.

    Pegawai Pendidikan Daerah Betong Sapawi Mahdi berkata:"memang begitulah sikap Uggah, ada saja usaha dia untuk bantu sekolah-sekolah di sini".

    Sapawi turut membawa senarai lebih 20 buah sekolah di daerah Betong dan butiran kemudahan serta keperluan sekolah-sekolah itu.

    Bagi Uggah, meningkatkan kemudahan pendidikan adalah perlu bagi memastikan anak-anak di kawasan Spaoh dan Bukit Saban khususnya memperoleh pendidikan sempurna dan seterusnya berjaya dalam hidup.

    "Apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengarahkan Menteri-menteri Kabinet untuk turut sama datang semasa proses penamaan calon...saya sudah 'target' Mahdzir untuk dibawa ke sini.

    "Saya bawa supaya Mahdzir dapat sama-sama bantu apa sahaja keperluan pendidikan di Daerah Betong dan Spaoh ini," kata Uggah yang turut berterima kasih kepada guru-guru yang tidak jemu menabur bakti kepada pelajar di Daerah Betong.

    Sempena lawatan itu, Mahdzir mengumumkan kelulusan pembinaan kelas baharu pendidikan khas di SK Spaoh dan 10 bilik darjah menggunakan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di SMK Spaoh.

    "Proses pentadbiran untuk kelulusan akan segera dilakukan. Saya anggarkan jumlah untuk pembinaan kelas baharu pendidikan khas dan 10 buah bilik darjah itu melibatkan kos RM3 juta," kata Mahdzir.

    --BERNAMA
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: #PRNSarawak: N37 Bukit Saban, "Empat Keutamaan" Akan Dilaksanakan - Douglas Uggah Embas Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top