• Entri Terkini

    Tuesday, April 05, 2016

    Pulangan Adil Kepada Penoreh Getah Dengan Kaedah Kadar "Dry Rubber Content" - YB Dato' Hajah Noriah Kasnon

    Yb Dato' Hajjah Noriah Kasnon menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen BN Rompin berhubung kaedah saintifik digunakan bagi menentukan kadar "Dry Rubber Content" agar memberikan pulangan yang adil kepada penoreh.

    TARIKH : 5 APRIL 2016

    SOALAN :

    Dato' Hasan bin Arifin [ Rompin ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan adakah kaedah saintifik digunakan bagi menentukan kadar "Dry Rubber Content" agar memberikan pulangan yang adil kepada penoreh memandangkan kadarnya ditentukan peraih dan pengilang secara andaian dan apakah undang-undang untuk mengelakkan manipulasi harga getah.

    JAWAPAN :

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kandungan Getah Kering (KGK) atau dengan izin Dry Rubber Content (DRC) merujuk kepada berat kering getah bekuan. Kadar KGK ditentukan oleh pelbagai faktor, termasuk tempoh simpanan, kaedah pembekuan dan juga klon.

    Buat masa ini, KGK getah yang dibeli oleh pembeli-pembeli di peringkat ladang ditentukan melalui pemerhatian (visual) pembeli-pembeli berkenaan. Harga cuplump ditentukan mengikut peratusan berat getah kering atau KGK getah tersebut.

    Bagi membantu penentuan KGK, pada tahun 2008, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah menghasilkan Carta Panduan KGK Cuplump sebagai panduan penentuan KGK getah bekuan. Carta panduan ini adalah sesuai digunapakai untuk getah bekuan yang berkualiti, bersih dari bahan pencemaran serta diasingkan mengikut tempoh simpanan. LGM turut melaksanakan kaedah piawaian penentuan KGK (MS2531:2013) serta kaedah pantas penentuan KGK (MS2579:2014) yang telah didaftarkan dan diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia. Kaedah ini boleh dirujuk sekiranya terdapat sebarang pertikaian dalam penentuan nilai KGK getah bekuan.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Pihak LGM memang sedar bahawa penentuan KGK melalui pemerhatian (visual) menimbulkan masalah kepada pekebun-pekebun kecil. Sehubungan itu, LGM sedang memuktamadkan perjanjian pengkomersilan dengan sebuah syarikat swasta bagi memasarkan mesin penentuan KGK dengan menggunakan teknologi infra red di mana mesin ini berupaya menentukan KGK dalam getah dengan lebih saintifik, tepat dan dalam tempoh yang amat singkat. Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan ini turut memerlukan proses pembersihan ke atas cuplump terlebih dahulu bagi memastikan nilai KGK yang dihasilkan adalah tepat dan mewakili nilai KGK sumber atau lot sampel cuplump yang diuji.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan ke atas industri getah negara, LGM menjalankan tugas-tugas pengawalseliaan dan penguatkuasaan melalui peruntukan-peruntukan yang tertakluk di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 dan juga Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014.

    Sehubungan itu, bagi memastikan pekebun-pekebun kecil mendapat tawaran harga getah yang munasabah berpandukan harga getah gred SMR20, berikut adalah antara peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan:

    i. Peraturan 3, Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014

    • Setiap aktiviti pembelian dan penjualan getah adalah diwajibkan untuk memiliki lesen;

    ii. Peraturan 20, Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014

    • Pemegang lesen hendaklah menyegerakan suatu rekod yang terkini dan benar mengenai semua transaksi yang mengandungi maklumat nama-nama penjual getah (pekebun kecil), kuantiti yang di beli dan harga yang dibayar kepada pekebun kecil; dan

    iii. Peraturan 3, Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014

    • Sebarang aktiviti urusniaga getah yang dijalankan, penjual perlu untuk mengemukakan resit rasmi dalam bentuk yang ditetapkan oleh LGM yang mengandungi maklumat kuantiti getah, KGK yang diberikan dan harga yang dibayar kepada pekebun kecil.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    LGM akan meneruskan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan para pembeli getah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, semoga memastikan para pekebun kecil getah mendapat harga yang berpatutan.

    Sekian, terima kasih.




    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pulangan Adil Kepada Penoreh Getah Dengan Kaedah Kadar "Dry Rubber Content" - YB Dato' Hajah Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top