• Entri Terkini

    Tuesday, April 19, 2016

    Rancangan Dan Inisiatif Penghasilan Komoditi Di Luar Kawasan Tumpuan Tradisional- YB Dato' Noriah Kasnon

    PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAPAN LISAN MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT,
    PARLIMEN KETIGA BELAS
    MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA

    PERTANYAAN : LISAN

    DARIPADA : TUAN RAMLI BIN SHARIFF

    TARIKH : 19 APRIL 2016

    SOALAN :

    Tuan Ramli bin Shariff minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan adakah sebarang rancangan dan inisiatif Kerajaan bagi memperkenalkan dan menggalakkan penanaman penghasilan komoditi di luar kawasan-kawasan tumpuan tradisional di seluruh negara.

    JAWAPAN : YB DATO’ NORIAH BINTI KASNON, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

    Tuan Yang di-Pertua,

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah dan sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi memastikan penanaman dan pengeluaran hasil komoditi sentiasa diteruskan. Ini termasuk menggalakkan penanaman tanaman komoditi di kawasan-kawasan baru termasuk di luar kawasan tumpuan tradisional.

    Bagi kes sawit dan getah, Kerajaan telah menyediakan peruntukan di bawah National Key Economic Area (NKEA) sebagai bantuan kepada pekebun kecil untuk membuka kawasan baru bagi tanaman tersebut di seluruh negara. Skim Tanam Baru Sawit dan Skim Tanam Baru Getah diteruskan pada tahun 2016 dengan menggunakan baki peruntukan sedia ada masing-masing sebanyak RM28.3 juta dan RM81.4 juta.

    Bagi tanaman koko pula, tiga (3) lokasi telah dikenal pasti untuk pembangunan tanaman baru koko di bawah Program Pembangunan Rantaian Koko Kluster iaitu, Serian di Sarawak, Ranau di Sabah dan Jerantut di Pahang. Sebanyak RM3.2 juta disediakan pada tahun 2016 bagi program ini.

    Tuan Yang di-Pertua,

    Pada asalnya, kawasan tumpuan penanaman lada hitam ialah di negeri Sarawak dan Johor sahaja. Bermula dengan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Lembaga Lada Malaysia telah memperluaskan kawasan-kawasan penanaman lada hitam ke Sabah dan Semenanjung seperti di Melaka, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Bagi tahun 2016, peruntukan sebanyak RM9.0 juta akan digunakan untuk membangunkan 450 hektar kawasan tanaman baru lada yang melibatkan seramai 2,250 peserta di seluruh negara.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berbanding dengan komoditi-komoditi lain, kenaf merupakan komoditi yang baru diperkenalkan. Bagi tahun 2016, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM19 juta bagi pembangunan penanaman kenaf seluas 2,500 hektar dan untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan kenaf di dua (2) lokasi iaitu di Kelantan dan Pahang.

    Sekian, terima kasih
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rancangan Dan Inisiatif Penghasilan Komoditi Di Luar Kawasan Tumpuan Tradisional- YB Dato' Noriah Kasnon Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top