• Entri Terkini

    Wednesday, May 04, 2016

    Industri Minyak Sawit Komponen Penting Ekonomi

    KUCHING: Industri minyak sawit kini menjadi komponen penting ekonomi negara dan ia dicerminkan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Projek Titik Permulaan (EPP).

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi NKEA Minyak Sawit, dua daripada lapan EPP adalah berkait secara langsung dengan kilang minyak sawit.

    “Justeru, menjadi matlamat EPP untuk meningkatkan Kadar Perahan Minyak (OER) daripada 20 peratus pada masa kini kepada 23 peratus menjelang 2020,” katanya semasa merasmikan Seminar POMREQ di sini, semalam.

    Uggah menambah, EPP turut bermatlamat memasang kemudahan memerangkap biogas di setiap kilang sawit di negara ini.

    Objektifnya adalah untuk mendapatkan nilai daripada kandungan tenaga biogas daripada efluen kilang minyak sawit dan pada masa sama mengurangkan kesan pembebasan karbon oleh minyak sawit.

    “Biogas yang dihasilkan oleh efluen daripada kilang minyak sawit mengandungi gas methane, merupakan gas rumah hijau 25 kali lebih tinggi menyebabkan pemanasan global berbanding karbon dioksida.

    “Sekiranya semua kilang memerangkap dan memanfaatkan biogas ini, kira-kira 17 hingga 20 juta tan karbon dioksida setara dengan pelepasan gas rumah hijau akan dapat dikurangkan setiap tahun,” jelasnya sambil menambah, biogas boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik kira-kira 500 megawatt untuk negara.

    Justeru, beliau dalam ucapannya menggalakkan kilang sawit memasang kemudahan memerangkap biogas yang kini sebanyak 68 kilang telah memasangnya manakala 13 buah lagi dalam proses pembinaan.

    Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini telah menubuhkan Kluster Minyak Sawit Lestari (SPOC) bagi memperkasakan lagi pekebun kecil pada masa depan.

    “Melalui kluster ini, Amalan Pertanian Baik (APB) akan dipromosikan dan pekebun kecil dibantu untuk mendapatkan pensijilan Standard Minyak Sawit Malaysia (MSPO),” katanya.

    Pada masa sama katanya, ia membantu membeli serta menjual FFB pekebun kecil dan proses ini memastikan kualiti dan kesegaran buah terjamin semasa dihantar ke kilang.

    Dalam pada itu, Uggah turut memberi keyakinan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha membantu mengurangkan trend menurun dalam harga minyak sawit.

    “Langkah yang dilaksanakan adalah termasuk mengeluarkan cukai eksport minyak sawit mentah (CPO) untuk bulan September dan Oktober lalu dan meneruskannya hingga penghujung tahun ini,” jelasnya.

    Inisiatif lain ialah pelaksanaan biodiesel sawit di mana program peningkatan B5 kepada B7 telah dilancarkan pada November ini bermula di Semenanjung Malaysia dan pada Disember depan untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Menurutnya, Program B7 melibatkan campuran tujuh peratus biodiesel sawit dengan 93 peratus diesel petroleum.

    Majlis tersebut turut menyaksikan Uggah melancarkan buku ‘Biogas – Capture and Utilisation from Palm Oil Mill Effluent’ dan Baja Bio-Kimia MPOBF4 Premium.

    Hadir sama Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May, Setiausaha Bahagian Industri Sawit dan Sagu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Aknan Ehtook, Presiden SSPOA Paul Wong Hee Kwong, Presiden POMA Steven Yow Thin Chin dan ahli Lembaga MPOB.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Industri Minyak Sawit Komponen Penting Ekonomi Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top