• Entri Terkini

    Wednesday, July 27, 2016

    Kesemua MB Selangor Tolak Dan Azmin Ali Luluskan Pembangunan Di Tapak Warisan Dunia

    Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menuntut kerajaan Selangor menarik balik kebenaran pembangunan yang diberikan kepada sebuah syarikat untuk memajukan kawasan hutan warisan dunia di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat.

    Presidennya, Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau kesal bagaimana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh meluluskan pertukaran status tanah itu yang terletak di kawasan Paya Indah Wetland untuk pembangunan.

    Menurut beliau, tanah itu yang terletak di Lot 68054 berkeluasan 619 hektar termasuk dalam Perjanjian Ramsar iaitu perjanjian mengenai tanah lembab yang berkepentingan antarabangsa terutama sebagai habitat ungas air.

    "Berdasarkan beberapa dokumen kerajaan, Lot 68054 ialah terletak di kawasan Paya Indah Wetland iaitu sebuah kawasan yang termasuk dalam Perjanjian Ramsar, di mana Malaysia telah menjadi anggota ke-84 dengan menandatangani perjanjian itu pada 1995.

    "Kita telah mendapat maklumat mengenai pertukaran syarat tanah dan kegunaannya, lalu SAMM membentuk satu pasukan bagi meneliti aduan serta siasatan termasuk lawatan tapak dan bertemu pegawai kerajaan serta pakar dalam bidang alam sekitar," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.


    Minit Mesyuarat Kerajaan Negeri yang meluluskan pertukaran status tanah kawasan Paya Indah Wetland kepada pembangunan.

    Badrul Hisham yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard berkata, kelangsungan daripada ikrar perjanjian itu, Malaysia telah mengistiharkan enam kawasan hutan sebagai warisan dunia Ramsar termasuk Paya Indah Wetland.

    Kawasan Paya Indah Wetland ini katanya, diistiharkan sebagai warisan dunia kerana ia menjadi habitat perlindungan penting spesies terancam yang jarang ditemui, malah menurut rekod ada burung hijrah yang hanya berhenti sekali dalam penerbangan hijrahnya di kawasan itu.

    “Ini bererti, selain pengekalan suhu, penampan kepada pencemaran dan bencana, maka sebarang gangguan kepada Paya Indah Wetland boleh bukan sahaja menjejaskan alam sekitar sekitar, tetapi turut mengganggu ekosistem dunia.

    “Tanah ini dikatakan telah menjadi milik sebuah syarikat bernama Salak Park sejak tahun 1994 ketika Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

    “Sejak itu Salak Park beberapa kali cuba menukar status tanah tersebut termasuk ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, tetapi ditolak atas alasan tanah berkenaan terletak di kawasan Paya Indah Wetland dan sebarang usaha pembangunan akan menjejaskan kawasan warisan dunia ini,” ujar beliau.

    Katanya lagi, di bawah empat Menteri Besar, kawasan paya itu kekal terpelihara dengan alasan sama.

    Tetapi, jelas beliau, yang menjadi persoalan besar, melalui satu mesyuarat yang dipengerusikan Mohamed Azmin, telah meluluskan penukaran status tanah tersebut dari pertanian (terhad) kepada kawasan pembangunan.

    “Kepada Kerajaan Selangor yang diterajui PKR dan sekutunya, tolong jangan menjadi hipokrit. Kita menentang pencabulan hutan (alam sekitar) di negeri seperti Sarawak, kita tolak alasan mereka (Barisan Nasional) kononnya kerana pembangunan, namun adakah kini kita mahu memberikan alasan yang sama?

    “Ingatlah, kita (Pakatan Harapan) melawan UMNO dan BN serta mengambil alih kuasa dari mereka bukan sebab untuk melakukan perkara sama seperti mereka, tetapi kita mahu berbuat lebih baik untuk rakyat dan alam sekitar,” katanya.

    Beliau berkata, SAMM akan mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa bertindak bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, aktivis, cendiakawan dalam bidang berkaitan ke arah mendesak menyelamatkan khazanah dunia itu serta meneruskan melakukan kerja penyiasatan.

    “Kami sangat yakin ia akan membawa kepada pembongkaran yang lebih besar,” ujarnya. - MalaysiaGazette
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kesemua MB Selangor Tolak Dan Azmin Ali Luluskan Pembangunan Di Tapak Warisan Dunia Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top