• Entri Terkini

    Wednesday, July 20, 2016

    Raja Muda Selangor Terima Watikah Leftenan Muda

    Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan menghadiri upacara penyampaian watikah pegawai muda kepada anakandanya, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Shah yang berlangsung di Parawood Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Para, Kem Terendak, semalam.

    Putera Sultan Selangor itu ditauliahkan pangkat Leftenan Muda dan ditempatkan di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para selepas menamatkan latihan pegawai kadet di Royal Military Academy (RMA) Sandhurst, United Kingdom, April lalu.

    Upacara Penyampaian Watikah Kepada Pegawai Muda Tentera Darat Tauliah Luar Negara itu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamad Affandi Raja Mohamed Noor. Hadir sama pada upacara itu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin. Tengku Amir Shah menyatakan perasaan teruja untuk menjalani kursus asas payung terjun yang dijadualkan September ini, sekali gus menyarung beret merun yang menjadi kebanggaan warga 10 Briged Para.

    “Saya berasa amat teruja untuk menjalani kursus payung terjun selain beberapa kursus lain. Saya juga tidak sabar untuk memikul tanggungjawab sebagai komander (ketua) platun selepas ini.

    “Dengan berkhidmat sebagai pegawai tentera darat, saya juga berpeluang mendapat pendedahan mengenai tugas unit lain yang ada di Kem Terendak (10 Briged Para),” titahnya.

    Empat lagi pegawai muda menerima tauliah pada upacara sama adalah Leftenan Muda Mohd Nafiq Afifi Jumaan, Leftenan Muda Muhammad Akmal Azmi, Leftenan Muda Mohamad Haziq Mohd dan Leftenan Muda Mohammad Hariz Hashim.

    Sebelum ini, Leftenan Muda Mohd Nafiq Afifi, Leftenan Muda Muhammad Akmal dan Leftenan Muda Mohamad Haziq Mohd, mengikuti latihan pegawai kadet di RMA Sandhurst bermula Januari hingga April lalu.

    Manakala, Leftenan Muda Mohd Hariz mengikuti latihan pegawai kadet luar negara di Sekolah Pegawai kadet (OCS), Institut Latihan Angkatan Tentera Singapura (SAFTI).
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Raja Muda Selangor Terima Watikah Leftenan Muda Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top