• Entri Terkini

    Friday, September 30, 2016

    Masalah Bil TNB Selangor: Cadangan YB Budiman

    Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi hari ini menjelaskan bahawa pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor telah menerima baik cadangan yang dikemukakannya bagi menangani isu penaiktarafan sistem bil 8.5 juta pelanggan TNB bermula 21 Julai lalu.

    Jelas beliau, pertemuannya dengan Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Hj. Mohd Zahir Hj. Md Nagor memberi kesan positif di mana pihak TNB Selangor diberikan masa selama sebulan untuk mengajukan permasalahan ini kepada peringkat pengurusan tertinggi TNB jika masalah ini tidak dapat ditanggani sebagaimana yang dijanjikan pihak TNB Selangor.

    “Hari ini saya memanjangkan aduan kepada Pengurus Besar TNB Selangor atas isu yang meresahkan rakyat berkaitan dengan perkhidmatan mereka.

    “Timbunan aduan menyatakan bahawa mereka tidak menerima bil secara konsisten dan tiba-tiba bil mereka dicaj tinggi mesti diberi penjelasan oleh pihak TNB,” ujarnya kepada media selepas pertemuan bersama Pengurus Besar TNB Selangor di sini hari ini.

    Tambah beliau, tindakan membawa ke pihak pengurusan TNB Selangor kerana pertemuan pertama pada 1 September 2016 di peringkat kawasan (Sungai Besar) tidak memberikan penyelesaian seperti rakyat harapkan.

    “Tindakan penambahbaikan dalam langkah menaiktaraf sistem pengebilan TNB ini akhirnya menyusahkan rakyat. Rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan isu ini walaupun apa pun alasan yang mereka (TNB) berikan.

    “Sehubungan dengan itu, saya memberikan tiga cadangan iaitu pertama, bekalan elektrik tidak akan dipotong sehingga proses penaiktarafan ini selesai. Ini kerana masalah penaiktarafan ini, majoriti para pengguna tidak menerima bil mereka dan apabila tidak menerima bil mereka, dan apabila mereka menerima bil yang meningkat, ia menimbulkan suasana panik di kalangan pengguna (rakyat).

    “Itu sebab saya mencadangkan kepada pihak TNB Selangor, yang pertama agar tidak berlaku proses pemotongan bil elektrik,” katanya.

    Kedua, beliau meminta pihak TNB membenarkan bayaran secara ansuran kerana menjadi masalah kepada rakyat apabila bil meningkat, ini kerana mereka tidak menerima bil (bulanan) namun apabila mereka menerima bil mereka, jumlah sudah meningkat di atas satu amaun yang tinggi.

    “Jadi saya minta masalah rakyat, pengguna diberikan kebenaran untuk membayar bayaran secara ansuran.

    “Seterus, kegelisahan rakyat ini bukanlah kerana masalah dari mereka, sebaliknya berpunca dari penaiktarafan dalam sistem TNB itu sendiri, maka saya pohon kepada pihak TNB untuk memberikan rebet khas kepada rakyat yanga merupakan pengguna TNB ini.

    “Ketiga-tiga cadangan ini penting, kerana selama ini tidak pernah pun berlaku apa-apa isu yang besar berlaku di antara pengguna (rakyat) dengan pihak TNB. Anggaplah rebet khas ini merupakan hadiah kepada rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Masalah Bil TNB Selangor: Cadangan YB Budiman Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top