• Entri Terkini

    Friday, October 28, 2016

    Ada Peruncit Hadkan Penjualan Minyak Masak Paket Di Selangor

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor mendapati ada sesetengah peruncit di negeri itu terpaksa mengehadkan penjualan minyak masak paket satu kilogram (kg) bagi mengawal kekurangan bekalan terutama menjelang sambutan Deepavali, Sabtu ini.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub, berkata perkara ini berlaku disebabkan ada pengguna melakukan pembelian secara panik dan melebihi keperluan.

    “Kini kita buat pemeriksaan di semua lapisan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang.

    Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati tiada kes melibatkan penjualan minyak masak melebihi harga kawalan ditetapkan iaitu RM2.50 bagi minyak masak paket sekilogram,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang menyaksikan harga minyak masak paket satu kg kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 Nov ini.

    Abdul Rosik berkata pihaknya ada menerima aduan daripada sesetengah peruncit mengatakan mereka kehabisan stok bekalan minyak masak paket disebabkan ada pengguna membeli melebihi keperluan berikutan mempercayai khabar angin kononnya harga minyak masak akan meningkat.

    Sementara itu di KANGAR, KPDNKK Perlis menasihati orang ramai agar tidak panik sehingga membuat pembelian minyak masak secara berlebihan.

    Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pengguna membeli minyak masak paket dan botol lebih banyak dari biasa, seterusnya menyebabkan bekalan minyak masak paket satu kg kehabisan di kebanyakan kedai dan pasar raya utama di Kangar, sejak semalam.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Jamal Nor Ahmad Harun berkata, situasi itu berlaku kerana pengguna terpengaruh dengan khabar angin kononnya harga minyak masak paket itu akan naik 40 sen.

    “Bila pengguna membeli secara tak terkawal, kesannya bekalan bahan berkenaan berkurangan secara mendadak sedangkan peniaga masih membuat pesanan daripada pembekal dalam kuantiti sama,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Jamal, situasi itu juga membuat peniaga terpaksa meletakkan notis kuantiti pembelian bahan itu secara terhad bagi setiap seorang pengguna.

    “Notis yang tertulis ‘pembelian minyak terhad kepada dua sahaja bagi seorang pembeli’, bukan kerana bahan itu tidak cukup, tetapi sebagai langkah mengingatkan pengguna agar membeli dalam kuantiti seperti kebiasaannya,” tegasnya.

    Jamal turut memberi jaminan bekalan minyak masak di negeri itu mencukupi serta percaya keadaan akan kembali normal dalam masa terdekat.

    Selain itu Jamal mengingatkan peniaga agar sama-sama memberikan maklumat yang betul kepada pembeli serta tidak mengambil kesempatan dalam situasi ini.

    Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Faridah berkata dia membeli minyak paket berkali-kali setiap hari untuk disimpan bagi perniagaannya.

    “Saya berniaga ayam goreng rangup, keropok lekor, popia dan karipap setiap hari. Semua itu perlu minyak untuk menggoreng, kalau minyak habis macam mana saya nak berniaga?,” katanya.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ada Peruncit Hadkan Penjualan Minyak Masak Paket Di Selangor Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top