• Entri Terkini

    Friday, October 07, 2016

    Tengku Amir Shah Dimasyhur Raja Muda Selangor Sabtu Ini

    Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah, Klang, pada Sabtu ini.

    Istiadat pemasyhuran gelaran, mengangkat sumpah dan menjunjung Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah sebagai Raja Muda Selangor diadakan selama dua hari iaitu pada Sabtu ini dan Sabtu depan (15 Oktober).

    Tengku Amir Shah, 25, diputerakan pada 12 Dis 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat.


    Baginda merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, hasil perkahwinan ayahandanya Sultan Sharafuddin dan bondanya, Puan Nurlisa Idris, seorang warganegara Amerika Syarikat.

    Tengku Amir Shah mendapat pendidikan awal rendah dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pelajaran di Wellington College, United Kingdom dari 2004 hingga peringkat A-Level pada 2009.

    Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, United Kingdom pada 2014.

    Sebagai putera raja yang gemarkan aktiviti lasak, Tengku Amir Shah telah melibatkan diri dalam bidang ketenteraan di mana baginda mendapat sokongan padu daripada ayahanda baginda.

    Pada 23 Sept 2014 sehingga 5 Dis 2014, baginda telah menjalani kursus persediaan ketenteraan yang rapi di Akademi Tentera Darat (ATD), Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Tengku Amir Shah kemudian meneruskan latihan ketenteraan ‘Commissioning Course Intake 152’, sebelum mendaftar diri di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom dan baginda menamatkan latihan dengan cemerlang pada 15 April 2016.

    Rentetan kejayaan itu, baginda ditauliahkan sebagai pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam satu upacara di Dataran PARAWOOD, Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para), Kem Terendak, Melaka pada 19 Julai 2016.

    Selain bidang ketenteraan, Tengku Amir Shah juga meminati pelbagai jenis sukan seperti golf, bola sepak serta sukan lasak seperti ‘water rafting’, menunggang ATV, berbasikal dan paintball.

    Baginda sering menyertai pertandingan golf yang dianjurkan di dalam dan luar Selangor, antaranya Kejohanan Golf Jemputan Raja Muda Selangor yang dianjurkan di kelab-kelab golf terkemuka di Selangor.

    Sebagai putera raja berjiwa rakyat, Tengku Amir Shah tidak melupakan kewajipan baginda untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

    Baginda merupakan Penaung Diraja bagi beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai objektif dalam membantu rakyat untuk meningkatkan taraf kehidupan.

    Antara pertubuhan dinaungi baginda ialah Yayasan Raja Muda Selangor, Pertubuhan Kebajikan Selangor Cheshire Home dan Selangor Youth Community (SAY).

    Selain itu, baginda turut sama turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat miskin dan juga menyertai program kesedaran kesihatan kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta wabak denggi.

    Baginda juga sering menghadiri majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor seperti majlis berbuka puasa dan perasmian masjid.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tengku Amir Shah Dimasyhur Raja Muda Selangor Sabtu Ini Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top