• Entri Terkini

    Wednesday, January 04, 2017

    Bagan Datuk, Pekan Koboi Dan Zahid Hamidi

    Bagan Datuk, Perak, hanyalah sebuah pekan kecil yang sunyi. Ada yang menggelarnya sebagai pekan koboi kerana hanya ada dua baris kedai di jalan utama. Ada juga yang menggelarnya `pekan mati’ kerana kedudukannya di penghujung, di tepi Sungai Perak.

    Namun apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam rombakan kabinet baru-baru ini, ia bagai satu kejutan kepada pekan sunyi ini. Mungkin tidak siapa menduga anak desa Kampung Sungai Nipah, salah sebuah kampung di Bagan Datuk, akan menduduki kerusi TPM.

    Bagi warga parlimen Bagan Datuk, pelantikan Zahid ini membawa bersamanya harapan untuk melihat pekan koboi itu menjadi lebih maju. Sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Dalam Negeri, Zahid memang selama ini sentiasa berusaha membawa kemajuan di kawasan parlimen berkenaan.

    Parlimen Bagan Datukmempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rungkup dan Hutan Melintang. DUN Rungkup paling hampir dengan pekan Bagan Datuk. DUN Hutan Melintang pula bersempadan dengan parlimen Teluk Intan dan Sabak Bernam, Selangor.

    Sejak zaman parti Perikatan, parlimen Bagan Datukdikuasai oleh parti pemerintah, termasuk dua DUN. Bagaimanapun pun pada pilihan raya umum 2008, PKR berjaya merampas kerusi DUN Hutan Melintang sehingga kini.

    Berbanding dengan pekan Bagan Datuk, pekan Hutan Melintang lebih meriah dan sibuk. Ini kerana kedudukan pekan tersebut yang menjadi laluan utama bagi mereka yang hendak ke utara dan sebaliknya dengan menggunakan jalan pantai (coastal roads). Kerana itulah di Hutan Melintang ini terdapat banyak bank, restoran makanan segera, kedai-kedai IT dan supermarket selain kedai-kedai pakaian.

    Pekan Bagan Datuk sunyi kerana ia di penghujung. Kedudukannya di tebing Sungai Perak yang terbentang luas. Dahulu dalam tahun 60an dan 70-an ada juga perkhidmatan bot tambang dari jeti Bagan Datuk ke Pangkor dan Sitiawan. Tetapi sejak dibina jalan raya ke Sitiawan dan utara melalui jalan utama Bagan Datuk-Hutan Melintang-Teluk Intan, perkhidmatan bot menjadi malap. Jetinya kini hanya sebagai tempat memancing atau tempat libur anak kota yang pulang ke desa.

    Cuma Bagan Datuk akan menjadi cukup meriah setiap kali pertabalan Sultan Perak. Ini kerana rombongan baginda pasti akan menggunakan jeti Bagan Datuk untuk ke Beting Beras Basah, yang merupakan salah satu acara tradisi pertabalan setiap Sultan Perak.

    Dengan pelantikan Zahid sebagai TPM, harapan baru bagai terserlah untuk melihat lebih banyak pembangunan dibawa ke pekan Bagan Datuk. Ketika menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional, Zahid telah membawa cawangan bank itu ke Bagan Datuk.

    Kini juga sudah ada Sekolah Menengah Sains berasrama penuh di Bagan Datuk. Malah ada cadangan membina kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Tapak sudah dikenal pasti tetapi pembinaan belum bermula sehingga kini.

    Warga Bagan Datuk bukan sahaja mengharapkan kampus UiTM ini menjadi kenyataan malah mengharapkan lebih banyak projek dijalankan bagi memastikan pekan Bagan Datuk tidak lagi sunyi. Ada yang mahu agar dibina juga sebuah maktab perguruan atau pusat latihan polis.

    Tentunya kalau dibina jambatan merentasi Sungai Perak dari Bagan Datuk ke Sitiawan, pekan sunyi ini akan sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana ia boleh menjadi jalan pintas. Namun tentunya projek ini bukan mudah untuk menjadi kenyataan.

    Barangkali usaha memajukan Bagan Datuk ini lebih mudah memandangkan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya adalah juga EXCO kerajaan negeri Perak.

    Harapan tinggi diletakkan di bahu Zahid agar Bagan Datuk bukan sahaja lebih maju malah boleh menyediakan peluang pekerjaan. Pertanian kini masih menjadi teras utama kegiatan ekonomi. Suatu ketika Bagan Datuk adalah kawasan tanaman kelapa terbesar di Malaysia. Tetapi dengan tarikan kepada kelapa sawit yang lebih mahal harganya menyaksikan tanaman kelapa baik di estet atau kebun kecil, diganti dengan kelapa sawit.

    Justeru harapan kini ialah teras ekonomi dipelbagaikan. Misalnya mewujudkan industri walaupun pada skala kecil. Selain menyediakan peluang pekerjaan ia boleh menjadi faktor penarik kepada warga kawasan tersebut untuk tidak berhijrah ke bandar-bandar besar mencari rezki.

    Bagan Datuk sememangnya mempunyai sejarah politik berwarna warni. Sudah beberapa orang Ahli Parlimen Bagan Datoh sebelum ini berkhidmat di peringkat pusat.

    Pada tahun 60-an, Allahyarham Sulaiman Bulon (Perikatan) dilantik menjadi Menteri Muda (atau kini Timbalan Menteri) Pembangunan Negara dan Luar Bandar dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Datuk Mohamad Jamrah pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Bandar pada awal 90-an.

    Sewaktu Pas dalam Barisan Nasional, Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Datuk Hassan Adli dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat dan kemudiannya Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan. Apabila Pas keluar BN, Hassan Adli menjadi duta Malaysia ke Mesir.

    Namun pelantikan Zahid sebagai TPM adalah yang paling menyinar sehingga kini. Harapan rakyat dan warga Bagan Datuk khususnya, amat tinggi . Mereka tidak mahu Bagan Datuk terus menjadi pekan koboi yang sunyi.

    Pengasas Bagan Datuk

    Tok Kelah Peneroka Awal

    Bagan Datuk mula dibuka sekitar 1880-an. Manakala Pekan Bagan Datuk pula dibuka pada 1896 dan pada waktu itu ia dikenali dengan nama Sungai Keling dan ada yang memanggilnya dengan nama Pekan Baru. Nama Tok Kelah memang tidak asing lagi di kalangan penduduk Bagan Datuk . Bagi generasi tua di Bagan Datuk , Allahyarham Tok Kelah merupakan seorang perwira yang cekal dalam usahanya membuka sebuah penempatan.

    Menurut sejarah, nama Bagan Datuk merupakan gabungan antara lokasi dan struktur rumah penduduk asal, nama Tok Kelah itu sendiri dan kesilapan orang Inggeris menuturkan dialek Melayu. Menurut sejarah, struktur rumah orang Melayu pada waktu itu didirikan di tepi Sungai Perak. Penghuninya dihubungkan dengan jambatan untuk ke daratan. Struktur binaan itulah yang dipanggil dengan panggilan “bagan” oleh masyarakat tempatan.

    Manakala nama Tok Kelah juga popular ketika itu di kalangan masyarakat setempat termasuk di Kota Setia dan Teluk Mak Intan yang kini dikenali dengan nama Teluk Intan. Sekiranya ada yang ingin ke tempat yang diteroka oleh Tok Kelah, mereka memanggil tempat tersebut dengan panggilan “Bagan Datok” sempena tempat yang mempunyai bagan dan juga nama Tok Kelah.

    Namun lama-kelamaan nama itu bertukar kepada Bagan Datuk apabila Straits Plantation Company Limited, sebuah syarikat perladangan Inggeris yang membuka estet kelapa pada 1896 yang terletak kira-kira 4 km dari Bagan diberikan nama “Bagan Datoh Estate” sempena dengan nama Bagan Datok yang terkenal ketika itu. Kesukaran orang Inggeris menyebut perkataan “Datok” mengakibatkan sebutannya bertukar kepada “Datoh”. Maka sehingga ke hari inilah, nama Bagan Datok kekal dengan Bagan Datoh walaupun masyarakat lebih selesa menyebut Bagan Datok.

    Ejaan ‘Bagan Datuk’ Mula Diguna Semasa Pengisytiharan Daerah Baharu


    Ejaan baharu bagi Bagan Datoh di Perak iaitu ‘Bagan Datuk’ akan mula diguna semasa pengisytiharan rasmi daerah baharu itu oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 9 Jan ini.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata ia diputuskan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Nov lalu.

    “Sehubungan itu, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengguna pakai ejaan baharu tersebut dalam pengurusan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Menurut Abdul Puhat, pengisytiharan bersejarah itu akan dilakukan di Dewan Sekolah Menengah Sains dekat Bagan Datoh dengan jangkaan kehadiran kira-kira 15,000 penduduk daerah itu.

    Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di sini Julai lalu mengumumkan Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh, hasil persetujuan bersama antara kerajaan negeri dengan persekutuan.

    Siapa Zahid Hamidi Yang Sinonim Dengan Bagan Datuk?

    Zahid Bin Hamidi, 62, merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh sejak 1995.

    Naib Presiden Umno ini memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sejak 2013.

    Terdahulu, Zahid pernah menjadi Menteri Pertahanan antara 2009 dan 2013.

    Zahid merupakan bekas Ketua Pemuda Umno sebelum beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 1998.

    Ekoran pilihan raya umum 2004, Abdullah melantik Zahid sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan dua tahun kemudian sebagai Timbalan Menteri Penerangan.

    Dalam Kabinet Mac 2008 beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Bapa kepada lima orang anak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya pada tahun 1976.

    Beberapa tahun yang lalu, beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Sebelum menceburi bidang politik Ahmad Zahid adalah seorang bankers dan pernah berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC, Bank Simpanan Nasional dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB).

    Berdasarkan pengalaman itu juga beliau dilantik menjadi Pengerusi BSN pada tahun 1995 sebelum melepaskan jawatannya pada tahun 1998.

    Pada 1999, Zahid dilantik pula sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bagan Datuk, Pekan Koboi Dan Zahid Hamidi Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top