• Entri Terkini

    Tuesday, January 10, 2017

    FIFA PUSKAS 2016: Tahniah Faiz Subri - Zahid

    Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah, itu selepas diumumkan selaku pemenang di majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, awal pagi ini.

    “Tahniah Faiz Subri memenangi FIFA PUSKAS Award 2016. Alhamdulillah berkat usaha membuahkan hasil, harumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

    Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus mengalahkan dua lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus.

    Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.

    Sementara itu, segenap lapisan masyarakat Malaysia tidak melepaskan peluang melalui media sosial untuk mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz selepas pengumuman tersebut

    Ia termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam akaun Twitternya, yang berkata tiada ucapan tahniah yang boleh menggambarkan kebanggaan negara terhadap pencapaian penyerang Pulau Pinang itu.

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dalam akaun Twitternya berkata: “Tahniah Faiz (Congratulation Faiz). We salute you (Kami tabik anda)”.

    Pengguna Twitter, @aiemiemyra berkata ia adalah berbaloi untuk menunggu di hadapan televisyen untuk mendengar ucapan daripada Mohd Faiz.

    Seorang lagi pengguna Twitter, @jimmylajim berharap pencapaian Mohd Faiz itu dapat memberi inspirasi kepada ramai pemain bola sepak muda Malaysia untuk meraih pengiktirafan antarabangsa pada masa depan.



    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: FIFA PUSKAS 2016: Tahniah Faiz Subri - Zahid Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top