• Entri Terkini

    Friday, January 06, 2017

    PRU14: Gandakan Usaha Di Kawasan Tumpuan - Zahid

    Semua jentera BN khususnya Umno diminta untuk bersiap siaga menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan kemenangan besar dapat dicapai.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk melipatgandakan usaha dengan memberi tumpuan lebih terhadap beberapa kawasan sasaran.

    "Saya ingin mengingatkan semua jentera BN dan Umno khususnya supaya melipatgandakan usaha di kawasan-kawasan tumpuan melalui beberapa gerak kerja ke arah mencapai kemenangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) meliputi kawasan kecundang atau yang mempunyai kelebihan terlalu sedikit dalam PRU sebelum ini.

    "Saya merasakan bahawa seteru politik pada masa kini telah melipatgandakan kerja-kerja mereka namun saya yakin sekiranya usaha-usaha itu ditingkatkan lagi, maka kawasan-kawasan tumpuan akan dapat peroleh kemenangan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno Bahagian Muar, Ledang, Pagoh dan Ledang di Bangunan Umno Muar, di sini, sebentar tadi.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan supaya jentera Umno dapat bersama-sama membantu jentera BN dari parti-parti komponen dalam mendekati kumpulan sasaran bukan Melayu agar mereka turut memihak kepada BN menjelang PRU14.

    "Saya mengingatkan juga meskipun Umno mempunyai kumpulan sasaran yang terdiri daripada orang Melayu, tetapi rakan-rakan parti komponen bukan Melayu juga harus didekati.

    "Malah mereka juga akan bersama dengan kita untuk melakukan beberapa tindakan dan Umno harus membantu jentera parti-parti komponen agar kumpulan sasaran memihak kepada calon BN dalam PRU akan datang," katanya.

    Terdahulu, Ahmad Zahid sempat meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dengan barisan kepimpinan empat Umno Bahagian dalam satu majlis tertutup di sini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor yang juga pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

    Ahmad Zahid, yang tiba kira-kira jam 3.55 petang itu, turut dibawa melawat bangunan dan kemudahan yang disediakan di situ termasuk melihat potret-potret pemimpin Umno terdahulu.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: PRU14: Gandakan Usaha Di Kawasan Tumpuan - Zahid Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top