• Entri Terkini

    Saturday, February 04, 2017

    Pemimpin Perlu Ubah Cara Berfikir - PM Najib

    Semua kepemimpinan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya sentiasa berjiwa besar dengan menolak sebarang unsur-unsur negatif yang boleh melemahkan parti sehingga menutup peluang kemenangan dalam pilihan raya umum nanti. 

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, muafakat dalam parti sama seperti sebuah rumah yang tentu sekali akan mengambil masa untuk kukuh tetapi jika semua bergerak secara seiringan, kekuatan BN pastinya digeruni dan dihormati lawan. 

    “Sebab itu kita jangan bergaduh, jangan kita bakar rumah kita. Kita harus pentingkan muafakat sesama kita. Ada masanya kita jadi calon, ada masanya tidak. Yang penting bagi kita ialah memastikan kemenangan. 

    Kalau kita menang, kita boleh bantu rakyat. “Kita perlu berjiwa besar, ibarat nak buat kenduri kalau hanya ada ketua rewang seorang sahaja tidak boleh berjaya. Kita kena berpakat dengan seluruh orang kampung, macam itulah juga kalau kita mahu menang pilihan raya umum, bukan tarik satu sama lain bagi jatuh,” katanya. 

    Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Jom Bantu Rakyat Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok di sini hari ini. Yang turut hadir Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim. 

    Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Belia Niaga Parlimen Kuala Selangor serta Bantuan Tuisyen kepada rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok. Terdahulu, Najib dalam program sama mengumumkan pe­runtukan RM1.5 juta bagi membangunkan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sungai Sembilang di sini, bagi membantu golongan tersebut meningkatkan sumber pendapatan mereka. 

    Menurutnya, hab nelayan itu akan turut berfungsi sebagai pusat agro pelancongan di daerah Kuala Selangor yang ketika ini menerima purata kehadiran kira-kira 2,000 pelancong setiap bulan. 

    “Kita kena ubah cara kita berfikir untuk segarkan lagi kawasan kita. Peruntukan RM1.5 juta ini untuk jadikan Jeti Sungai Sembilang hab nelayan dan kita harapkan nelayan menjual sendiri hasil mereka, bukannya melalui orang tengah. “Harapan kita ialah supaya pendapatan nelayan meningkat dua kali ganda,” ujarnya.
    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pemimpin Perlu Ubah Cara Berfikir - PM Najib Rating: 5 Reviewed By: azmy klanajaya
    Scroll to Top