• Entri Terkini

    Sunday, February 19, 2017

    Sila rujuk sejarah perundangan dunia - Hj Hadi Awang

    Kuala Lumpur: Masyarakat bukan Islam di negara ini diminta menghormati adab perpaduan negara dengan tidak mencampuri undang-undang syariah yang hanya membabitkan umat Islam.

    Presiden PAS yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, golongan yang masih memandang negatif terhadap Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) itu juga diminta melihat kembali sejarah perundangan dunia.

    “Sejarah memperlihatkan di mana letaknya undang-undang Islam itu dihormati oleh dunia, iaitu ketika ahli undang-undang antarabangsa mengadakan seminar di Belanda selepas Perang Dunia Kedua.

    “Waktu itu, untuk menggubal undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan dunia, mereka terpaksa membaca terjemahan al Quran dalam aspek undang-undang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dihadapan kira-kira 300,000 peserta perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok di sini malam tadi.

    Menurut beliau sejarah juga membuktikan, di akhir abad lalu, sekitar awal 1970-an bagaimana dalam kalangan ilmuan Barat bersama Muslim di Makkah menganjurkan pertemuan.

    “Dalam pertemuan itu, tokoh-tokoh ilmuan Barat juga mengiktiraf kedudukan syariat Islam yang wajib dibuat kajian oleh dunia.

    “Jadi, mereka yang ada (bantah RUU 355) di Malaysia ini, hanyalah nyamuk-nyamuk dan agas-agas kecil sahaja, yang dipersilakan rujuk sejarah senario pengalaman undang-undang di peringkat dunia,” katanya.

    Perhimpunan bertemakan ‘Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera’ ini diadakan sebagai usaha menyokong pindaan RUU 355 yang dibentangkan Abdul Hadi di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu dan akan dibaca buat kali kedua di Parlimen, Mac depan.

    Beliau membentangkan usul persendirian itu untuk kali pertama pada 26 Mei lalu yang antara lain bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut Islam dalam hal kesalahan.


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sila rujuk sejarah perundangan dunia - Hj Hadi Awang Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top