• Entri Terkini

    Sunday, February 05, 2017

    Wawasan Allahyarham Tan Sri Adenan Pelbagaikan Ekonomi Sematan diteruskan

    LUNDU: Penduduk Sematan menaruh harapan tinggi untuk melihat hasrat Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk menjadikan pekan terakhir di penghujung sebelah barat kepulauan Borneo itu sebagai destinasi pelancongan baharu negeri ini menjadi kenyataan.

    Mereka mengharapkan pucuk pimpinan baharu kerajaan negeri, meneruskan cita-cita Allahyarham Adenan itu yang mahu Sematan sehebat kawasan pelancongan Damai di Santubong.

    Ketua Kaum Kampung Tanah Hitam, Adenan Karudin, 66, berkata hasrat Allahyarham Adenan itu bukan sahaja mahu melihat Sematan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dan menjadi sebahagian penyumbang ekonomi negeri, tetapi juga membantu menjana ekonomi penduduk di perkampungan nelayan itu.

    “Itu yang paling utama kerana selain mengangkat Sematan sebagai destinasi pelancongan, kami amat gembira dengan wawasan Allahyarham yang mahu meningkatkan ekonomi penduduk di sini menerusi pembabitan dalam sektor pelancongan.

    “Lebih 80 peratus masyarakat Melayu dari enam kampung di Sematan kini mencari rezeki dengan menjadi nelayan kecil-kecilan dan kami berharap dengan pembangunan sektor pelancongan akan mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk,” katanya.

    Beliau berkata, selain membangunkan sektor pelancongan, Allahyarham Adenan juga berusaha merancakkan lagi kegiatan di Sematan dengan mewujudkan pusat latihan di kawasan itu.

    “Salah satu yang hampir pasti menjadi kenyataan ialah pembinaan pusat latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak di sini.

    “Saya juga pernah mendengar sebuah Kolej Matrikulasi akan dibina di Sematan dan besarlah harapan kami untuk melihat ia menjadi kenyataan satu hari nanti,” katanya.

    Selain itu katanya, penduduk juga mengharapkan ada kawasan perindustrian dibuka di Sematan bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengelak penghijrahan ke bandar berterusan.

    “Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari sini, jadi amat wajarlah kegiatan ekonomi di daerah kecil Sematan ini dipelbagaikan,” katanya.


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Wawasan Allahyarham Tan Sri Adenan Pelbagaikan Ekonomi Sematan diteruskan Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top