• Entri Terkini

    Monday, March 06, 2017

    Budiman bidas laporan akhbar kerajaan negeri

    SABAK BERNAM: Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi kesal dengan laporan akhbar milik kerajaan negeri Selangor yang menuduh beliau gagal menunaikan janji membantu nelayan di kawasannya.

    Budiman berkata, artikel yang diterbitkan akhbar berbahasa Melayu itu bukan sahaja tidak benar, malah mencemar bidang kewartawanan kerana fakta yang disiarkan kepada masyarakat jauh menyimpang daripada realiti yang berlaku.

    Beliau berkata, Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Besar, Abdul Karim Lambak juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan.

    "Malah, beliau (Abdul Karim) turut membuat laporan polis mengenai penerbitan artikel itu, selain menganggap beliau dianiaya oleh akhbar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik melalui akaun Facebooknya hari ini.

    Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, sebagai wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) di Selangor, beliau berkemungkinan menjadi sasaran oleh pihak berkepentingan politik yang menggunakan akhbar itu sebagai alat untuk memfitnah serta memburuk-burukkan imejnya.

    Katanya, sepanjang tujuh bulan menjadi Ahli Parlimen, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan bagi membantu nelayan di kawasan Parlimen Sungai Besar, termasuk menyalurkan peruntukan bagi kerja menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Nibong, bernilai RM200,000.

    "Jeti Nelayan Sungai Haji Dorani turut dinaikkan taraf menerusi peruntukan sebanyak RM45,000 serta menjalankan aktiviti gotong royong membaik pulih Jeti Sungai Nipah bernilai RM2,000," katanya.

    Budiman berkata, 19 nelayan di kawasan itu juga sudah dibantu mendapatkan lesen khas sampan manakala peruntukan masing-masing RM480,000 dan RM1.65 juta sudah disalurkan bagi pemasangan Lampu Pandu Arah Laut di Bagan Sungai Besar serta di Bagan Sekinchan.

    "Kita membela nelayan menerusi penangguhan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi menggantikan Pas Pelaut yang sepatutnya bermula 1 Mac lalu serta mengadakan pertemuan dwi bulanan secara berkala dengan agensi penguatkuasaan seperti APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ), Jabatan Perikanan dan Polis Marin.

    "Berdasarkan daripada senarai-senarai itu, apakah asas yang mengatakan saya mengabaikan kebajikan golongan nelayan di kawasan Parlimen Sungai Besar sebagaimana yang didakwa oleh akhbar terbabit?

    "Sebaliknya, akhbar kerajaan negeri itu perlu bertanyakan kepada pentadbiran Selangor ketika ini mengenai caj yang bakal dikenakan kepada nelayan oleh pihak LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang dilihat bakal meningkatkan kos sara hidup nelayan," katanya.


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Budiman bidas laporan akhbar kerajaan negeri Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top