• Entri Terkini

    Friday, March 17, 2017

    Tak putus-putus mohon maaf



    Serdang: “Saya mendoakan kebaikan keluarga arwah dan semoga arwah juga mendapat kebaikan ‘di sana.’ Minta maaf dengan apa yang berlaku namun demikianlah ketentuan Ilahi,” hanya itu mampu diucapkan Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Omar Arteh kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang mati ditembak di negara itu enam tahun lalu.

    Dalam kejadian 2 September 2011, arwah Noramfaizul sedang bertugas sebagai jurukamera BERNAMA TV di Somalia yang dibelenggu perang saudara sejak 1991 selepas kejatuhan rejim Siad Barre.

    Allahyarham Noramfaizul ketika itu berusia 40 tahun mengikuti misi bantuan anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan dilaporkan terkena tembakan peluru sesat Tentera Pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) dari Burundi secara tidak sengaja.

    Seorang lagi mangsa adalah jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang turut tercedera.

    Dalam pertemuan penuh emosi jam 2.10 petang semalam, Mohamed Omar yang dalam lawatan kerja di negara ini turut membawa keluarganya tidak putus-putus memohon maaf mewakili kerajaan dan rakyat Somalia berikutan kejadian meragut nyawa anak sulung daripada enam beradik pasangan Mohd Nor Md Yasin, 72, dan Naemah Abdul Majid, 68, itu.

    “Saya hadir di rumah ini untuk menunjukkan rasa penghormatan terhadap Noramfaizul. Dia datang ke Somalia untuk membantu namun dia maut dalam misi bantuan untuk kami.

    “Saya memberikan jaminan, keselamatan lebih terkawal untuk kumpulan misi bantuan yang mahu ke negara kami. Somalia amat memerlukan bantuan daripada anda dan dunia, ketika ini lebih enam juta rakyat kami berdepan kebuluran dan bulan depan krisis dijangka semakin teruk,” katanya ketika program ziarah di rumah keluarga Noramfaizul di Taman Serdang Raya, di sini, semalam.

    Mohamed Omar kini dalam lawatan kerja ke Malaysia dari 9 Mac lalu dan ini kali pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Somalia pada Februari 2015.

    Sementara itu, ibu arwah Noramfaizul, Naemah berkata, dia rasa terharu dan bersyukur dengan kedatangan pemimpin kedua tertinggi Somalia itu bersama keluarga ke rumahnya.

    “Saya terharu apabila Timbalan Perdana Menteri Somalia hadir sendiri ke rumah dan mendoakan arwah anak mak cik. Mak cik pun sentiasa mendoakan anak mak cik semoga ditempatkan dalam golongan baik.

    “Suami, Mohd Nor pula diserang angin ahmar sejak Mei tahun lalu dan bulan pertama selepas serangan penyakit itu dia terpaksa menggunakan tiub untuk memasukkan susu dan ubat,” katanya.

    Balu Noramfaizul, Norazrina Jaafar, 43, dari Taman Putra Permai, dekat sini turut hadir bersama anak sulung Mohd Irfan, 15, meminta pihak media tidak menemuramahnya dan enggan gambar dirakamkan.

    Seorang lagi anak arwah Noramfaizul, Mohd Naufal, 9, pula tidak dapat hadir semalam.-MyMetro


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tak putus-putus mohon maaf Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top