• Entri Terkini

    Tuesday, April 18, 2017

    Dua terselamat, seorang masih hilang bot nelayan karam di perairan Bagan Pasir, Tanjong Karang

    TANJONG KARANG - Seorang nelayan hilang manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka karam ekoran dipukul ombak besar di perairan Bagan Pasir, dekat Tanjong Karang, di sini pagi tadi.

    Nelayan yang hilang dikenali sebagai Ah Hua berusia dalam lingkungan 50-an manakala yang selamat adalah tekong bot, Lim Ching Chong, 46, dan rakannya, Teoh Eng Chuan, 56.

    Menurut sumber, ketiga-tiga mangsa yang tinggal di Bagan Pasir dekat sini telah keluar untuk menangkap ikan menaiki bot nelayan kelas B di perairan Bagan Tengkorak kira-kira pukul 5 pagi tadi.

    "Bagaimanapun, kira-kira pukul 9 pagi, berlaku ribut dan kesemua mereka bertindak menaikkan pukat dan memutuskan untuk pulang.

    "Namun, dalam perjalanan pulang ke jeti nelayan Bagan Pasir, bot yang dinaiki mereka dipukul ombak besar sebelum air masuk ke dalam bot dan karam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

    Sumber berkata, Ching Chong dan Eng Chuan berjaya diselamatkan oleh nelayan lain yang turut berada tidak jauh dari lokasi tersebut.

    "Kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi trauma kerana ia merupakan kejadian pertama sejak menjadi nelayan lebih 20 tahun,"ujarnya.

    Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.27 petang sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lapan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Menurut Azmi, pihaknya telah membuka Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) turut dibuka di jeti Bagan Pasir bagi tujuan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin.

    "Pihak bomba telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian bagaimanapun mangsa masih belum ditemui sehingga pukul 6 petang tadi.

    "Operasi menyelamat dihentikan sementara ekoran cuaca gelap dan akan disambung semula esok pagi,"katanya


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dua terselamat, seorang masih hilang bot nelayan karam di perairan Bagan Pasir, Tanjong Karang Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top