• Entri Terkini

    Tuesday, April 11, 2017

    Jamah Air Hujan dan Gula-Gula-Peluncur Angin

    HULU SELANGOR 10 April - Hanya air hujan dan gula-gula. Itu yang dijamah Mohamad Rosely Azly, 53, iaitu peluncur angin yang ditemukan selamat selepas lebih 24 jam hilang ketika melakukan aktiviti 9tersebut di Bukit Batu Pahat di sini.

    Eksekutif pentadbiran syarikat swasta itu menganggap kejadian tersebut merupakan pengalaman baharu yang amat menakutkan selepas terjatuh dari ketinggian lebih 1,200 meter, kira-kira pukul 2.45 petang semalam.

    Menceritakan semula kejadian ngeri itu, Mohamad Rosely berkata, walaupun telah mendapat arahan daripada koordinator supaya mendarat di kawasan selamat berikutan angin kencang serta terdapat kepulan awan hitam, dia tidak berbuat demikian kerana beranggapan aliran angin ketika itu masih baik.

    “Bagaimanapun, saya sedar akan kesilapan itu apabila tiba-tiba ditarik naik ke atas awan lalu panik hingga menyebabkan walkie-talkie yang saya bawa terjatuh.

    “Ketika itu, dalam keadaan berpusing-pusing di dalam awan, saya hanya mampu berdoa agar nyawa saya tidak berakhir di situ,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

    Jelasnya lagi, semakin tinggi ditarik naik ke awan, semakin sukar untuk dia bernafas menyebabkannya pengsan dan hanya sedar pada pukul 6 petang, di atas rumput dalam keadaan mengiring.

    “Selepas sedar daripada pengsan, saya nampak cahaya, mungkin dari arah jalan raya di samping terdengar bunyi azan, namun ketika itu saya langsung tidak bermaya untuk berjalan.

    “Saya mengambil keputusan bermalam di bawah payung luncur dan meminum air hujan yang bertakung pada payung tersebut serta memakan gula-gula yang saya bawa,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, sebaik sahaja terjaga pagi tadi, dia terdengar bunyi helikopter namun pesawat tersebut tidak melintasi lokasi di mana dia terjatuh.

    “Namun, Tuhan memakbulkan doa saya apabila sebuah helikopter melalui tempat saya jatuh kira-kira pukul 3.30 petang tadi dan saya kemudian diselamatkan sebelum dibawa ke sini (hospital) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
    - UTUSAN ONLINE


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jamah Air Hujan dan Gula-Gula-Peluncur Angin Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top