• Entri Terkini

    Tuesday, April 18, 2017

    Kerajaan Persekutuan tidak abai janji bantu pesawah - Budiman

    Sungai Besar 17 April -
    Pesawah-pesawah di kawasan Parlimen Sungai Besar diharap tidak termakan hasutan pembangkang kononnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan janji untuk
    memberikan bantuan kepada golongan itu yang terjejas akibat serangan hawar daun bakteria (BLB) sebelum ini.

    Ahli Parlimennya, Budiman Mohd. Zohdi sebaliknya menegaskan, bantuan yang membabitkan jumlah kira-kira RM3.7 juta itu masih lagi di peringkat penelitian oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang turut melibatkan proses pengumpulan maklumat mengenai keluasan sebenar tanaman padi yang terjejas akibat serangan penyakit itu.

    “Adalah tidak benar jika pihak pembangkang menyatakan Kerajaan Persekutuan kononnya mengabaikan 8,000 pesawah di Sungai Besar yang terjejas akibat serangan BLB.

    “Sebaliknya, bantuan itu sebenarnya dalam perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani manakala pengumumannya akan dibuat oleh Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam tempoh terdekat ini.

    “Bagaimanapun, saya menjangkakan bantuan itu mungkin melibatkan dua pilihan sama ada dalam bentuk kewangan atau input pertanian seperti racun,” katanya kepada pemberita

    selepas menyampaikan sumbangan input pertanian bernilai RM57,123 kepada 1,916 orang pesawah dari kawasan Pasir Panjang dan Sungai Nipah dalam satu program di Dewan Simpang 5, di sini semalam.

    Budiman berkata demikian sebagai membetulkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 7 April lalu yang dilaporkan cuba mempolemikkan isu bantuan kelewatan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyalurkan bantuan kepada 8,000 pesawah di Sungai Besar yang terjejas akibat serangan BLB.

    Pada Januari lalu, Ahmad Shabery mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM3.7 juta kepada pesawah yang terjejas akibat masalah itu. Dalam pada itu, Budiman membidas Mohamed Azmin yang seolah-olah lupa bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan banyak peruntukkan untuk membantu para pesawah di kawasan barat laut Selangor setiap tahun berbanding kerajaan negeri.

    “Kalau kita lihat data daripada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, sejumlah RM2,700 dihulurkan pihak Kerajaan Persekutuan kepada para pesawah bagi setiap hektar kawasan tanaman padi,” ujarnya.


    • Komen Blogger
    • Komen Facebook

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kerajaan Persekutuan tidak abai janji bantu pesawah - Budiman Rating: 5 Reviewed By: Heroldnizam hnm
    Scroll to Top